Piala Dunia Kelab: Ulsan HD & Kim Pan-gon Tewas Di Aksi Pertama
MakanBola
Ulsan HD FC

Ulsan HD membuka kempen Kumpulan F Piala Dunia Kelab 2025 dengan langkah kiri apabila tewas kepada wakil Afrika Selatan, Mamelodi Sundowns.

Ulsan yang dibimbing bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon berharap kempen kejohanan ini menjadi perangsang semangat bila kembali ke saingan K-League 1.

Penyerang Brazil, Erick Farias menjadi pilihan Pan-gon untuk merobek gawang Sundowns. Penjaring kedua South African Premiership, Iqraam Rayners mengetuai serangan kelab Afrika Selatan itu.

Situasi ribut petir di Orlando memaksa perlawanan ditangguhkan selama sejam. Meskipun begitu, itu tidak mematahkan semangat penyokong kedua-dua pasukan.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan. Divine Lunga membuat percubaan ke arah gawang Ulsan seawal minit kedua tetapi tidak berhasil.

Darijan Bojanic hampir mencemaskan penyokong Sundowns pada minit ke-17. Ini kerana sepakan percuma beliau hanya melepasi palang gol.

Sundowns menyangka mereka telah mendahului pada minit ke-31 menerusi Iqraam Rayners. Malangnya, gol tersebut dibatalkan selepas VAR mengesan bola terkena Rayners sebelum menembusi gawang.

Gol pendahuluan yang dicari Sundowns akhirnya muncul lima minit selepas itu menerusi Lucas Ribeiro. Penjaring terbanyak South African Premiership itu tenang menewaskan penjaga gol, Jo Hyeon-woo.

Ulsan menyangka mereka dibolosi buat kali kedua menerusi Rayners pada minit ke-39. Anak buah Pan-gon menghela nafas lega apabila gol itu dibatalkan atas kesalahan ofsaid.

Bersambung pada separuh masa kedua, Sundowns terus memberi tekanan ke atas kubu pertahanan Ulsan.

The Tigers nyaris dibolosi buat kali kedua menerusi Ribeiro pada minit ke-53. Walau bagaimanapun, percubaan beliau dinafikan Hyeon-woo.

Situasi ini mendorong Pan-gon memasukkan Matias Lacava menggantikan bekas pemain sayap Bolton Wanderers, Lee Chung-yong pada minit ke-63 untuk mengubah momentum perlawanan.

Ulsan hampir meraih gol penyamaan pada minit ke-70 apabila penjaga gol Sundowns, Ronwen Williams terlepas bola daripada tangannya. Williams segera mengumpul bola buat kali kedua sebelum sempat dikuis Farias.

Williams terus menjadi penghalang The Tigers daripada menjaringkan gol. Penjaga gol Sundowns itu pantas menafikan percubaan Lacava pada minit ke-80.

Ulsan terus memberi tekanan ke arah benteng Sundowns tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Sundowns menerajui Kumpulan F dengan tiga mata.

Ulsan pula berada di tangga keempat tanpa sebarang mata. Ini selepas Borussia Dortmund dan Fluminense terikat tanpa jaringan dalam satu lagi aksi kumpulan.

Sofascore memilih Bojanic sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.8. Beliau mengatasi cabaran Ribeiro dengan perbezaan 0.1 mata.

Selepas ini, Ulsan akan menentang Fluminense pada 22 Jun. Sundowns pula akan menentang Der BVB pada hari yang sama.