Piala Dunia
@brfootball
Advertisements

Hasrat Korea Selatan merekodkan kemenangan pertama dalam Kumpulan H Piala Dunia 2022 tidak kesampaian. Ini selepas Pahlawan Taeguk diaibkan pasukan gergasi Afrika, Ghana 3-2 dalam aksi kedua kumpulan.

Dengan jurang ranking pasukan yang besar iaitu Korea Selatan (ke-28 dunia) dan Ghana (ke-62 dunia), tidak hairanlah mengapa pasukan gergasi Asia itu memberi tekanan sebaik sepak mula. Mereka menguji gawang Ghana seawal minit keempat tetapi Black Stars berjaya mengeluarkan bola sebelum disepak penyerang Cho Gue-sung.

Pahlawan Taeguk kemudiannya mendapat sepakan sudut sebanyak dua kali pada minit kelapan. Menerusi sepakan sudut yang kedua yang diambil kapten Son Heung-min, ia mencetuskan perebutan bola membabitkan pemain kedua-dua pasukan dalam kotak penalti sebelum berjaya dikeluarkan oleh pertahanan Ghana.

Advertisements

Heung-min yang mendapat sokongan bek kiri Kim Jin-su menjadi duri dalam daging kepada barisan pertahanan Black Stars. Ini memaksa Tariq Lamptey yang ditugaskan mengawal ayam tambatan Tottenham Hotspur itu turun naik padang bagi mengekang hantaran-hantaran kreatifnya daripada sampai kepada pemain-pemain Korea.

Tetapi ketumpulan barisan serangan Korea Selatan dihukum oleh Ghana. Selepas dianugerahkan sepakan percuma oleh pengadil, sepakan Jordan Ayew mencetuskan perebutan dalam kotak penalti Pahlawan Taeguk sebelum ditolak oleh Mohammed Salisu pada minit ke-24. Selepas diperiksa semula oleh VAR, gol tersebut dikira sekaligus melegakan Ghana yang dibimbing Otto Addo.

Seakan mendapat tonik keyakinan, Black Stars mula mengatur gerakan yang mencemaskan Korea Selatan. Dan hasilnya, satu lagi hantaran Ayew ke kotak penalti Pahlawan Taeguk berjaya ditanduk kemas pemain tengah Ajax Amsterdam, Mohammed Kudus menewaskan Kim Seung-gyu pada minit ke-34.

Advertisements

Pahlawan Taeguk cuba bangkit menerusi gerakan solo Heung-min. Walaupun dikepung beberapa pemain Black Stars, beliau melorongkan bola kepada Kwon Chang-hoon yang membuat percubaan jauh ke arah gawang Ghana yang dikawal Lawrence Ati-Zigi pada minit ke-38. Tetapi sayangnya, percubaan tersebut melepasi palang gol.

Korea Selatan terus berusaha mencari gol bagi merapatkan jurang dengan Ghana. Tetapi kekentalan pertahanan Black Stars terus menghampakan anak-anak buah Paulo Bento dengan keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Cho Gue sung Korea Selatan Piala Dunia 2022 BR Football Piala Dunia: Korea Selatan Terkejut Diaibkan Ghana
Cho Gue-sung ikat kedudukan 2-2 sama menerusi dua golnya pada minit ke-58 dan 61. Gambar: @brfootball

Selepas rehat, Korea Selatan cuba bangkit. Hasilnya, Gue-sung merapatkan jurang menerusi gol pada minit ke-58 selepas mendapat hantaran pemain tengah Real Mallorca, Lee Kang-in. Beberapa minit selepas itu, Gue-sung menyamakan kedudukan untuk Pahlawan Taeguk selepas menanduk umpanan Jin-su melepasi Ati-Zigi.

Advertisements

Tetapi sebelum sempat Korea Selatan mengatur gerakan mendapatkan gol kemenangan, Ghana sekali lagi berada di depan menerusi Kudus pada minit ke-68. Bola yang dihantar sepatutnya disepak oleh penyerang Athletic Bilbao, Inaki Williams tetapi beliau terlepas menolak bola dalam gawang terbuka. Bagaimanapun, ia dapat disudahkan Kudus menerusi sepakan lencong menuju ke penjuru jauh jaring.

Tersentak, Pahlawan Taeguk menguji Ati-Zigi menerusi sepakan percuma Kang-in pada minit ke-73 tetapi berjaya ditepis penjaga gol St Gallen itu. Dua minit selepas itu, sepakan Jin-su pula berjaya dikeluarkan pertahanan Ghana daripada melepasi garisan gol mereka selepas bek kiri Jeonbuk itu menyepak bola yang melantun akibat sepakan Heung-min.

Korea Selatan yang terdesak memasukkan penyerang Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee-chan bagi membantu Gue-sung dan Heung-min di bahagian serangan. Bagaimanapun, Jin-su sekali lagi menguji Ati-Zigi menerusi percubaan pada minit ke-84 tetapi percubaannya terbang melepasi palang.

Advertisements

Dengan 10 minit masa tambahan, anak-anak buah Bento terus mengasak kubu Ghana. Gue-sung sekali lagi cuba menembusi gawang Ghana pada minit ke-94 tetapi berjaya ditepis Ati-Zigi. Dua minit selepas itu, penyerang Jeonbuk itu terus kecewa apabila tandukannya berjaya dikeluarkan pertahanan Ghana. Dan selepas tamat perlawanan, Bento dikenakan kad merah oleh pengadil selepas cuba membantah keputusannya meniup wisel tamat perlawanan.

Dengan keputusan ini, Ghana mengetuai kumpulan dengan tiga mata tetapi dengan kelebihan jaringan yang besar. Sementara Korea Selatan pula menduduki tangga tercorot kumpulan. Tetapi semua ini boleh saja berubah sekiranya Portugal dapat mengatasi cabaran Uruguay dalam perlawanan kedua Kumpulan H yang akan berlangsung awal pagi ini.

Yang pasti, Pahlawan Taeguk bakal berdepan tugas sukar untuk layak ke pusingan kedua. Ini kerana mereka perlu berdepan Portugal untuk perlawanan terakhir kumpulan pada 2 Disember. Manakala Ghana pula hanya perlu seri atau menang dengan Uruguay pada hari sama sekiranya ingin layak ke pusingan kedua.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram