Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia Ke Separuh Akhir, Benam Cabaran Jepun
UltraSukan
PSM

Skuad sepak takraw Malaysia tidak berdepan masalah mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026.

Ini selepas anak buah Ahmad Jais Baharom menewaskan Jepun 2-0 dalam aksi suku akhir acara regu berpasukan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa.

Malaysia mempertaruhkan Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam sebagai regu pertama. Meskipun terpaksa membuat pertukaran dengan memasukkan Zarif Merican sebagai pengganti Syahir, Malaysia meraih kemenangan dengan keputusan 15-9, 15-6.

Rentak cemerlang itu kemudiannya diteruskan oleh regu kedua negara menerusi Afifuddin Razali, Aidil Aiman Zawawi dan Zulkifli Razak.

Meskipun regu Jepun cuba menyekat regu negara menerusi taktik halangan berganda, itu bukan penghalang buat regu kedua Malaysia meraih kemenangan dengan keputusan 15-6, 15-8.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia akan menanti sama ada Indonesia atau Filipina sebagai lawan mereka di peringkat separuh akhir.

Dua lagi tiket separuh akhir berjaya diambil Korea Selatan dan musuh tradisi Malaysia, Thailand. Ini selepas kedua-dua pasukan mara dengan menewaskan lawan masing-masing di peringkat suku akhir.