Aksi suku akhir kedua Piala FA 2024 hari ini melibatkan pertembungan antara pasukan Kedah Darul Aman dan Penang.
Kedah turun dengan misi untuk layak ke pusingan separuh akhir selepas berjaya mendahului aksi suku akhir pertama tempoh hari dengan agregat 1-0.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan. Pasukan pelawat, Penang bermula dengan lebih agresif apabila banyak melancarkan serangan dan memaksa Kedah Darul Aman untuk bertahan.
Peluang keemasan buat Penang untuk membuka akaun jaringan hadir pada minit ke-17 permainan. Tandukan daripada import Penang, Neto Oliveira bagaimanapun tidak menerjah jaring apabila terkena palang.
Aksi separuh masa pertama di Stadium Darul Aman berakhir tanpa jaringan, Kedah 0-0 Penang.
Bersambung aksi di babak kedua, barisan pertahanan Kedah terus diasak pasukan pelawat. Penang terus menerus mencuba untuk membolosi gawang Kedah untuk jaringan pertama perlawanan.
Ketangkasan penjaga gol Kedah, Kalamullah Al-Hafiz serta kecekapan penjaga gol Penang, Sikh Izhan Nazrel wajar diberi pujian apabila kedua-dua penjaga gol ini menjadi watak penting pasukan daripada dibolosi.
Pada minit ke-72 permainan, Penang sekali lagi mendapat peluang keemasan untuk menghasilkan jaringan. Tandukan tepat Richmond Ankrah bagaimanapun digagalkan Kalamullah Al-Hafiz.
Beberapa percubaan juga berjaya dihalang Sikh Izhan apabila penjaga gol kebangsaan ini beraksi dengan cukup cemerlang. Kedah hampir mendapat jaringan pertama selepas kesilapan pertahanan Penang, namun Sikh Izhan melayangkan badan untuk menafikan jaringan tersebut.
Percaturan pengendali Penang, Akmal Rizal dengan membawa masuk pemain gantian bagi memperkuat barisan serangan tidak membawa hasil. Empat minit masa tambahan di babak kedua perlawanan tidak mengubah keputusan perlawanan.
Aksi di Stadium Darul Aman tamat dengan keputusan seri tanpa jaringan, 0-0. Kedah Darul Aman layak ke separuh akhir dengan agregat 1-0.
Skuad Sang Kenari bakal berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim di pusingan separuh akhir Piala FA 2024.