Piala FA: Terengganu Ke Suku Akhir Tewaskan Kedah
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Aksi tertunda saingan Piala FA Malaysia hari ini membabitkan pertembungan antara pasukan Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Mizan Zainal Abidin itu menyaksikan pasukan Terengganu meraih kemenangan berharga apabila skuad kendalian Nafuzi Zain berjaya melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala FA. 

Aksi separuh masa pertama bermula dengan jaringan awal berjaya dihasilkan pasukan tuan rumah. Seawal minit keenam permainan, Faiz Nasir telah mencatat nama sebagai penjaring setelah beliau menyempurnakan hantaran lintang Faisal Halim dengan satu tandukan cantik menembusi jaring. 

Selepas jaringan terhasil, Terengganu dilihat lebih selesa menguasai permainan tatkala gandingan Habib Haroon dan Manuel Ott di bahagian tengah padang benar-benar memberi impak kepada mutu permainan.

Gol awal Faiz Nasir tersebut telah meletakkan Terengganu mendahului 1-0 pada babak separuh masa pertama perlawanan.

Aksi kedua dimulakan dengan serangan banyak dihalakan ke arah pasukan pelawat. Barisan serangan Terengganu terus bertenaga mengasak mencari jaringan tambahan.

Pada minit ke-50 permainan, kekasaran yang dilakukan pertahanan Terengganu, Pape Diakite telah mengundang padah apabila pengadil perlawanan mengesan tindakan beliau yang menghalang gerakan Ronald Ngah Wanja. Diakite dilayankan kad merah sekaligus memaksa pasukan Terengganu beraksi dengan sepuluh orang pemain. 

Peluang tersebut dimanfaatkan pasukan KDA FC apabila banyak serangan dapat dicipta dan direncanakan anak buah kendalian Aidil Shahrin.

Sungguhpun beraksi dengan sepuluh pemain, semangat pasukan Terengganu tidak mudah lentur untuk terus mengasak. Pertahanan Terengganu juga kekal disiplin mengawal kubu menghalang setiap percubaan dari dibolosi.

Hasrat kedua-dua pasukan untuk mencetak jaringan tidak kesampaian. Lima minit masa tambahan yang diberikan pengadil tidak mengubah keputusan perlawanan.

Perlawanan tamat, Terengganu 1-0 Kedah Darul Aman.