Piala FA: Terengganu Mara Ke Final, Selangor Terciduk

Terengganu vs Selangor 2 Piala FA: Terengganu Mara Ke Final, Selangor Terciduk
Selangor FC

Aksi separuh akhir saingan Piala FA 2022 hari ini membabitkan pertembungan antara pasukan Terengganu FC dan Selangor FC.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Mizan Zainal Abidin menyaksikan pasukan Terengganu meraih kemenangan berharga apabila skuad kendalian Nafuzi Zain melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Piala FA 2022.

Babak separuh masa pertama bermula dengan jaringan pembukaan daripada pasukan pelawat tatkala pemain sayap Selangor, Norhakim Hassan memanfaatkan hantaran Quentin Cheng dengan satu sentuhan cantik menembusi jaring. Norhakim berjaya mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-24 permainan. 

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad kendalian Nafuzi Zain dilihat semakin ghairah untuk mencari gol penyamaan. Beberapa serangan telah diatur pasukan tuan rumah demi mencari gol pertama pasukan.

Petrus Shitembi dan Tchetche Kipre menjadi antara pemain yang melakukan percubaan tepat ke gawang Selangor. Banyak peluang yang terhidang cuba disempurnakan barisan serangan Terangganu, bagaimanapun ketangkasan penjaga gol Selangor, Sam Somerville telah menggagalkan hasrat Terengganu.

Keputusan separuh masa pertama tamat dengan Selangor mendahului Terengganu, 1-0. 

Babak separuh masa kedua bermula dengan jaringan penyamaan berjaya dihasilkan pemain sayap lincah, Muhammad Faisal Halim. Gerakan solo Faisal cantik dinatijahkan dengan satu kuisan menewaskan Sam Somerville.

Terengganu dilihat lebih selesa menguasai permainan tatkala gandingan Habib Haroon dan Manuel Ott di bahagian tengah padang benar-benar memberi impak kepada bahagian serangan.

Namun serangan balas yang dicetuskan anak buah Michael Feichtenbeiner juga beberapa kali membahayakan gawang tuan rumah. 

Aksi 90 minit perlawanan tamat dengan keputusan seri Terengganu 1-1 Selangor. Perlawanan diteruskan pada babak masa tambahan.

Masa tambahan memperlihatkan kedua-dua pasukan juga buntu mencari jaringan kemenangan. Akhirnya perlawanan berlanjutan kepada penentuan sepakan penalti.

Sepanjang perlawanan kedua-dua pasukan telah memberikan sepenuh tenaga dan menampilkan permainan yang cukup cemerlang.

Sepakan penalti menamatkan perlawanan. Pasukan Terengganu melayakkan diri ke pentas akhir, menewaskan Selangor dalam penentuan penalti 4-2.

Terengganu bakal berdepan Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan akhir Piala FA edisi ke-31.