Aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024 membabitkan Selangor FC dan Terengganu FC bakal dihangatkan dengan kehadiran ramai penyokong.
Ini selepas pengurusan Merah Kuning mengumumkan kesemua tiket perlawanan untuk aksi berkenaan di Stadium MBPJ sudah habis dijual.
“Semua tiket untuk aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024 telah habis dijual! Bersedialah untuk pertarungan yang tidak dapat dilupakan! Terima kasih (penyokong) The Red Giants dan jumpa anda semua di Stadium MBPJ pada hari Sabtu!” kata kelab dalam satu kenyataan.
Kenyataan ini memberi bayangan bahawa kehadiran untuk aksi berkenaan bakal melebihi 10,000 orang. Berdasarkan angka kehadiran dalam Liga Malaysia (Liga M), kehadiran tertinggi Selangor ialah 10,365 orang.
Kehadiran ini direkodkan dalam aksi Liga Super membabitkan Merah Kuning dan Negeri Sembilan pada 26 Mei lalu.
Selangor mengharapkan kehadiran penyokong di Stadium MBPJ dapat membantu mereka mengubah kedudukan agregat separuh akhir Piala FA 2024.
Merah Kuning tewas 3-2 di tangan Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 19 Julai lalu. Safawi Rasid, Nurillo Tukhtasinov dan Ismahil Akinade menyumbat gol buat skuad Peteh.
Sementara dua gol Selangor pula disumbang dua tonggak import iaitu Alvin Fortes dan Noor Al-Rawabdeh. Merah Kuning bakal berentap dengan Peteh buat kali kedua di Stadium MBPJ pada 3 Ogos ini.
Pemenang bakal bertemu sama ada Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) atau Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di pentas final.