Piala Malaysia: Bisa Akhyar Rashid Bantu Terengganu Tundukkan Melaka
MakanBola
Melaka FC
Sponsors

Terengganu FC membawa bekalan selesa dalam aksi pusingan 16 terakhir Piala Malaysia apabila berjaya menundukkan Melaka FC dengan jaringan besar di Stadium Hang Jebat pada Sabtu.

Melaka di bawah kendalian K. Devan menurunkan barisan terkuat dengan Nasir Basharudin menjadi nadi utama di bahagian tengah manakala Terengganu yang dibimbing Badrul Afzan mempertaruhkan trio di bahagian serangan iaitu Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Ismaheel Akinade.

Ad

Perlawanan dimulakan dengan penguasaan yang baik oleh pasukan Terengganu. Manakala Melaka dilihat bertahan dengan agak berdisiplin.

Ad

Terengganu tidak perlu menunggu lama untuk berada di hadapan apabila pada minit ke-7, Safawi Rasid melepaskan rembatan deras kaki kiri untuk menewaskan penjaga gol Melaka, Ameerul Eqhwan.

Ketinggalan satu jaringan, Melaka cuba memperkemaskan rentak dengan acap kali melancarkan serangan balas pantas.

Ad

Pada minit ke-13, Azim Rahim hampir menyamakan kedudukan buat Melaka namun percubaannya berjaya diselamatkan Rahadiazli di gawang Terengganu.

Ad

Selepas menyumbang satu bantuan gol untuk jaringan Safawi, kini Akhyar Rashid meletakkan nama sebagai penjaring apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-14. Penalti tersebut dihadiahkan pengadil selepas Akhyar dijatuhkan pertahanan Melaka.

Ad

Biarpun kedua-dua pasukan saling menyerang, namun kedudukan 2-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Terengganu terus mempamerkan penguasaan dengan beberapa serangan merbahaya.

Terengganu berjaya mendapatkan satu lagi jaringan pada minit ke-53, sekali lagi melalui Akhyar Rashid yang menanduk kemas hantaran menarik Nurillo Tukhtasinov. Terengganu selesa mendahului Melaka 3-0.

Kedudukan itu hanya bertahan 3 minit sahaja apabila Melaka membalas dengan jaringan Fuseini Issah hasil tandukan tipis menewaskan Rahadiazli sekali gus merapatkan kedudukan menjadi 3-1.

Ketika perlawanan hampir tamat, Alif Zakaria berjaya menambah jaringan buat Terengganu apabila rembatan derasnya menewaskan Ameerul Eqhwan di gawang Melaka.

Keputusan 4-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan dan memberikan bekalan selesa buat Terengganu sebelum aksi timbal balik yang akan dilangsungkan pada 29 November depan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.