Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad menyifatkan duo Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva sebagai ancaman utama pasukan itu menjelang final Unifi Piala Malaysia.
Kelibat Arif dan Bergson sememangnya menjadi duri dalam daging kepada barisan pertahanan mana-mana pasukan Liga Super.
Ini terbukti dengan penyerang Brazil itu sudah meledakkan 32 gol dalam Liga Super musim 2024/25. Arif pula sudah mencipta 13 bantuan gol dalam liga.
Ini ditambah dengan kedua-duanya masing-masing calon Pemain Tengah Tempatan Terbaik dan Pemain Import Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2024-2025 (ABK24-25).
Atas sebab itu, Fandi mahu anak buahnya berusaha mengekang ancaman duo berkenaan jika mahu bergelar juara buat kali pertama sejak 2014.
“Kita tahu mereka bukan hanya ada Bergson saja. Mereka punya ramai pemain yang harus kita awasi terutama Bergson, Arif Aiman dan beberapa pemain baru juga di situ,” katanya kepada Nadi Arena.
“Kita hormati mereka, mereka ada kebolehan dan kemahiran teknikal yang tinggi. Tapi dalam bola sepak, apa pun boleh terjadi.
“Yang penting kita bersemangat, berdisiplin dan dedikasi. Itu sangat penting buat kita.”
Sri Pahang menghadapi aksi final tanpa kelibat Kpah Sherman yang menjalani penggantungan perlawanan. Manuel Hidalgo juga terpaksa melupakan aksi final disebabkan statusnya sebagai pemain pinjaman JDT.
Selain itu, Tok Gajah juga resah dengan status kecederaan Aleksandar Cvetkovic dan David Rowley. Aksi final Unifi Piala Malaysia dijangka berlangsung pada 26 April ini.