Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa bekalan selesa apabila menewaskan Terengganu pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia
Dua pasukan gergasi bola sepak tanah air bertemu di pentas separuh akhir setelah JDT cemerlang menyingkirkan KL City sementara Terengganu pula bangkit menumbangkan Negeri Sembilan.
Gandingan Arif Aiman dan Bergson terus menjadi sandaran utama JDT di jentera serangan sementara Terengganu pula terpaksa sisihkan Azam Azmi akibat kecederaan pada saat akhir.
Pelawt terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-17 menerusi jaringan Romel Morales yang menyambar bola muntah hasil tandukan Park Jun-heong berpunca daripada sepakan sudut.
Pintu gawang Terengganu sekali lagi dibolosi hasil percubaan Romel Morales pada minit ke-35 sebelum semakan oleh VAR membatalkan gol itu akibat kekasaran oleh Iker Undabarrena.
Separuh masa pertama tamat, Terengganu 0-1 JDT.
Kembali dari bilik persalinan, aksi bertambah menarik apabila JDT dihadiahkan sepakan penalti setelah Arif Aiman dikasari namun VAR sekali lagi membatalkan keputusan awal pengadil itu.
Kehampaan itu ditebus dengan gol kedua JDT hasil rembatan kencang Arif Aiman dari jarak dekat minit ke-79 untuk skuad Harimau Selatan selesa mendahului permainan dengan dua jaringan.
Arif Aiman dan Bergson melengkapkan malam gemilang buat JDT dengan dua jaringan bergaya di hujung permainan untuk juara bertahan itu membawa pulang bekalan 4 gol dari laman Sang Penyu.
Pertembungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak berakhir dengan keputusan 4-0 memihak JDT.
Aksi timbal balik bakal berlangsung pada 1 Februari hadapan di Stadium Sultan Ibrahim namun Terengganu dan JDT bakal bertemu dalam saingan Liga Super pada 25 Januari di Gong Badak.