Piala Malaysia: Keputusan Tepat, FAM Puji Prestasi Cemerlang Razlan Joffri Ali
MakanBola
MFL

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memuji keputusan tepat yang dikeluarkan oleh pengadil final Piala Malaysia, Razlan Joffri Ali.

Pada Sabtu lalu, berlangsungnya perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan Sri Pahang dengan Razlan Joffri Ali dipilih menjadi pengadil aksi tersebut.

Walau bagaimanapun, beberapa keputusan yang dikeluarkan oleh Razlan di sepanjang perlawanan epik itu telah mendapat kritikan cukup hebat oleh peminat-peminat bola sepak tempatan.

Perkara ini telah pun mendapat maklum balas oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Dato’ S. Sivasundaram selepas meneliti laporan Penilai Pengadil dan analisis oleh Unit Pengadil dan Jawatankuasa Prestasi Pengadil FAM.

Menurut Dato’ S. Sivasundaram, pihak FAM memuji prestasi Razlan Joffri Ali pada aksi final tersebut selain turut melihat keputusan-keputusan yang dibuat di sepanjang perlawanan adalah tepat.

“Prestasi Pengadil Final Unifi Piala Malaysia 2024-2025, Razlan Joffri Ali adalah pada tahap baik manakala keputusan-keputusan penting yang dibuat olehnya pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu lalu itu adalah tepat,” ujar Dato’ S. Sivasundaram dalam satu kenyataan.

“Laporan Penilai Pengadil menunjukkan bahawa pengendalian perlawanan oleh Razlan telah menunjukkan satu prestasi yang baik, sekali gus tidak mempengaruhi keputusan akhir perlawanan.

“Unit Pengadil FAM dan Jawatankuasa Prestasi Pengadil FAM juga telah membuat analisa perlawanan dan mendapati keputusan Kad Kuning kedua (Perintah keluar padang) yang diberikan kepada kedua-dua pasukan adalah tepat dari segi Undang-undang Permainan FIFA 2024/2025.

“Keputusan penalti yang diberikan kepada pasukan JDT dan keputusan membatalkan gol JDT kerana kesalahan offside adalah tepat.

“Setiap insiden dalam permainan tersebut telah disemak dengan tepat oleh Pengadil VAR dan tahap pematuhan ‘Protocol VAR’ adalah sangat cemerlang,” kata beliau.

Dato’ Sivasundaram turut membuat kesimpulan bahawa setiap ‘key match incident‘ dalam perlawanan tersebut telah diadili dengan tepat mengikut Undang-undang permainan FIFA.

“Lumrah manusia yang mana tidak lari daripada kesilapan-kesilapan yang mana ia tidaklah sebesar mempengaruhi keputusan akhir perlawanan tersebut.

“Kedua-dua pasukan telah memiliki peluang yang sama rata untuk bergelar juara dan ia ditentukan oleh pasukan itu sendiri. FAM sangat komited dengan mutu prestasi pengadil dan FAM tidak pernah berkompromi dalam hal mutu pengadil,” jelas beliau.

Pada aksi tersebut, JDT telah dinobatkan selaku juara Piala Malaysia buat kali ke-5 apabila bangkit menumbangkan Sri Pahang hasil jaringan penalti oleh Bergson Da Silva dan Arif Aiman di babak kedua.