Piala Malaysia: Sergio Aguero Sedia Gempur Kubu JDT
MakanBola
Sri Pahang FC

Penyerang Sri Pahang FC, Sergio Aguero sedia merobek kubu Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi final Unifi Piala Malaysia pada 26 April ini.

Selepas Kpah Sherman sah terlepas aksi final kerana perlu menjalani penggantungan perlawanan, Fandi Ahmad mula bereksperimen dengan menggandingkan Aguero dan Mykola Ahapov.

Percaturan legenda Singapura itu membuahkan hasil apabila Sri Pahang menundukkan Penang FC 3-2 dalam aksi terakhir liga baru-baru ini.

Lebih menarik, Ahapov turut menyumbat dua gol untuk membantu Tok Gajah mengakhiri musim dengan kemenangan.

Aguero mengakui bukan mudah untuk merobek kubu JDT yang hanya dibolosi lapan kali dalam Liga Super.

Pada masa sama, beliau menganggap itu sebagai satu cabaran untuk membantu Sri Pahang cemerlang di pentas final nanti.

“Sudah tentu kemenangan ini penting agar menyuntik keyakinan kepada semua orang. Sekarang, tugas yang paling sukar.

“JDT satu pasukan yang hebat tetapi dalam 90 minit, apa saja boleh berlaku,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Sri Pahang berharap dapat mengulangi kejayaan bergelar juara Unifi Piala Malaysia yang dilakar pada musim 2014.