Malaysian Football League (MFL) mengumumkan saingan Piala MFL tidak akan dipertandingkan pada musim 2025/26.
Keputusan itu dibuat selepas MFL dan semua rakan kongsi liga terdiri daripada 13 kelab Liga Super sebulat suara bersetuju.
Persetujuan dicapai menerusi sesi perbincangan membabitkan semua pemegang taruh yang diadakan pada 19 Februari lalu.
Saingan Piala MFL diperkenalkan pada tahun 2023 dengan tujuan membantu pembangunan pemain muda. Susulan itu, kelab juga diwajibkan memiliki skuad Piala MFL sebagai salah satu syarat pelesenan kelab.
Walau bagaimanapun, dapatan MFL mendapati kelab-kelab menanggung perbelanjaan tinggi terutama dari segi gaji dan operasi logistik. Kelab-kelab Liga Super menanggung kos sehingga RM28 juta.
Atas sebab itu, MFL dan rakan kongsi liga melihat pemain yang berusia 20 hingga 23 tahun memiliki peluang untuk merebut tempat dalam skuad senior kelab masing-masing.
Meskipun Piala MFL dimansuhkan bermula pada musim depan, pembangunan pemain muda terus menjadi fokus kelab-kelab Liga Super.
Ini dibuktikan menerusi pertandingan Piala Presiden (skuad Bawah 20 Tahun (B-20) dan Piala Belia (skuad B-18) yang dikelolakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
MFL turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkasakan satu-satunya saingan liga domestik iaitu Liga Super bagi musim 2025/26.