Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) II mengejar Kedah B dalam Kumpulan A Piala MFL tidak kesampaian hari ini. Ini selepas anak-anak buah Mariano Echeverria tewas 3-2 kepada Penang di Stadium Bandaraya, Georgetown.
Dengan sebahagian pemain JDT II yang baru pulang dari tugasan Sukan SEA 2023, pemain-pemain ini pastinya mahu melupakan kekecewaan gagal mencapai sasaran asal mereka. Justeru, tidak hairanlah sebaik sepak mula, Harimau Selatan melancarkan serangan ke atas Harimau Kumbang.
Tetapi keghairahan mereka menyerang membuka ruang kepada Penang melancarkan serangan balas. Dan pasukan yang dibimbing bekas penyerang Harimau Malaya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu mendahului pada minit ketujuh menerusi Idrzuwan Daud.
Bagaimanapun, keceriaan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Adam Farhan Mohd Faizal menyamakan kedudukan untuk JDT II pada minit ke-16. 10 minit selepas itu, Harimau Kumbang kembali di hadapan menerusi Shafi Azswad Sapari.
Dengan keputusan 2-1 kekal sehingga rehat, Echeverria tahu anak-anak buahnya perlu bangkit pada separuh masa kedua. JDT II menggandakan asakan dan berhasil mendapat gol penyamaan buat kali kedua menerusi Daryl Sham pada minit ke-49.
Harimau Selatan kemudiannya mendapat sepakan penalti selepas pengadil mengesan bola terkena tangan pertahanan Penang. Tetapi bangku JDT II hampa apabila penalti yang diambil berjaya diselamatkan penjaga gol Penang, Al-Iman Wahiey Muhammad Amir.
Kegagalan tersebut memakan diri apabila tuan rumah mendapat gol ketiga menerusi Haleif Zakaria pada minit ke-89. Keputusan 3-2 ini kekal sehingga tamat perlawanan.
Kekalahan ini menyaksikan JDT II kekal di tangga keempat Kumpulan A dengan 11 mata. Walaupun berkongsi mata sama dengan Penang iaitu 11 mata, Harimau Selatan kekal di tangga keempat atas kelebihan jaringan.