Piala MFL: Sri Pahang Bergelut Tewaskan Kedah
MakanBola
KDAFC B
Sponsors

Kelebihan Stadium Darul Aman gagal dimanfaatkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) B apabila tewas tipis kepada Sri Pahang 4-3 dalam aksi terbaru Liga Juara Piala MFL.

Kedua-dua pasukan turun dengan misi berbeza. Sang Kenari berharap dapat keluar dari kedudukan tercorot dan memintas Selangor FC di tangga ketujuh.

Ad

Manakala ubi muda Tok Gajah pula mengintai kedudukan KL City FC Extension yang menduduki tangga kelima liga.

Ad

Tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi penjaring terbanyak mereka, Ebenezer Assifuah pada minit ke-12.

Tersentak, pelawat bangkit menyamakan kedudukan menerusi Luqman Hakim Sukemi sembilan minit selepas itu. Sri Pahang makin selesa apabila Luqman menyumbat gol kedua peribadinya pada minit ke-26.

Ad

Anak-anak buah Sahrulnizam Sahat menambah derita Kedah B menerusi dua gol dalam tempoh dua minit.

Ad

Dua gol tersebut disumbang oleh Syaahir Saiful Nizam pada minit ke-45 dan Lokman Bah Din pada minit ke-46. Keputusan 4-1 kekal sehingga rehat.

Ad

Bersambung pada babak kedua, jurulatih Sang Kenari, Rosle Md Derus membuat beberapa pertukaran bagi membantu merapatkan jurang gol.

Percaturan Rosle menjadi apabila Faizal Talib melepasi perangkap ofsaid pelawat sebelum melorongkan bola yang mudah ditolak Assifuah pada minit ke-66.

Assifuah mencipta hatrik dengan menyumbat gol ketiga pada minit ke-84. Itu merupakan gol ke-15 beliau dalam saingan Piala MFL musim ini.

Gol penyamaan yang dicari tidak muncul biarpun pengadil Ridhwan Abd Rahman memberi masa tambahan selama lapan minit. Keputusan 4-3 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini membolehkan ubi muda Tok Gajah merampas kedudukan kelima daripada KL City Extension dengan tujuh mata. Sementara Kedah B pula terus kekal di tangga tercorot liga.