Perak FC III meraih kelebihan awal untuk aksi suku akhir kedua Piala Presiden 2024 apabila menewaskan Selangor FC 1-0.
Kedua-dua pasukan memburu kelebihan gol menjelang aksi timbal balik pada 17 Oktober ini. Ini kerana aksi suku akhir kedua menjadi penentu pasukan mana layak ke separuh akhir.
Tiket ini menjadi idaman Selangor yang dibimbing jurulatih, Firdaus Aziz. Ini kerana dengan layak ke separuh akhir, mereka mengulangi pencapaian Piala Presiden musim 2023.
Separuh masa pertama menyaksikan skuad muda Merah Kuning berusaha mencari gol pendahuluan menerusi Harry Danish Mohd Haizon dan Izzat Syahir Zulihsan.
Keadaan ini menyebabkan barisan pertahanan Perak III diketuai Abdul Raez Azeem Rahimi bekerja keras menepis setiap asakan pelawat.
Skuad muda The Bos Gaurus terpaksa menunggu sehingga minit ke-44 untuk membuka tirai jaringan menerusi Moses Raj a/l Michel Dass.
Gol pemain skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) itu sudah cukup memastikan Perak III mendahului 1-0 sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Selangor terus menggandakan asakan ke atas kubu pertahanan Perak III tetapi tidak berhasil.
Keadaan ini mendorong Firdaus memasukkan Syahir Sukri dan Adam Fitri Mohd Paudzi untuk menambah sengat di bahagian serangan Selangor.
Malangnya, gol yang dicari skuad muda Merah Kuning masih lagi tidak kelihatan. Dan ini memastikan kemenangan 1-0 diraih Perak III di Padang PCRC, Ipoh.
Selangor masih berpeluang layak ke separuh akhir dengan syarat meraih kemenangan besar dalam aksi timbal balik pada 17 Oktober ini.