Hajat bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon meraih gelaran juara berganda bersama kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan HD musnah sama sekali.
Ini selepas kelab itu tewas kepada Pohang Steelers dalam aksi final Korean FA Cup 2024 di Stadium Piala Dunia Seoul.
Pan-gon berharap dapat mengulangi kejayaan trofi berganda buat kali kedua dalam kariernya. Ini kerana sebelum ini, pencapaian itu dilakar jurulatih berusia 55 tahun itu bersama kelab Hong Kong, South China.
Pohang pula mahu mempertahankan gelaran juara Korean FA Cup yang dimenangi pada 2023. Kejayaan bergelar juara turut dilihat penamat terbaik buat anak buah Park Tae-ha selepas menamatkan K-League 1 2024 di tangga keenam liga.
Separuh masa pertama menyaksikan The Tigers berusaha merobek gawang Pohang menerusi penjaring terbanyak mereka, Joo Min-kyu dan Darijan Bojanic.
Ini memaksa barisan lima pemain pertahanan Pohang diketuai bek tengah Australia, Jonathan Aspropotamitis bekerja keras menyerap asakan juara K-League 1 tiga kali berturut-turut itu.
Jentera serangan Pohang diketuai Jorge Teixeira dan Jeong Jae-hee dilihat buntu menembusi gawang Ulsan yang dikawal Pemain Terbaik K-League 1 2024, Joo Hyeon-woo.
Tatkala perlawanan seakan berakhir dengan keputusan 0-0 sehingga rehat, Min-kyu menceriakan penyokong Ulsan dengan meletakkan mereka di hadapan pada minit ke-40.
Bersambung selepas rehat, Pohang terus menggandakan serangan ke arah kubu Ulsan untuk mencari jaringan penyamaan.
Situasi ini mendorong Pan-gon memasukkan pemain tengah Jepun, Ataru Esaka untuk memantapkan jentera tengah The Tigers.
Kesungguhan Pohang memburu gol membuahkan hasil apabila rembatan leret Jae-hee melepasi jangkauan Hyeon-woo sebelum menerjah jaring pada minit ke-69.
Dua minit selepas itu, penyerang berusia 30 tahun itu hampir menggandakan kelebihan Pohang. Malangnya, percubaan Jae-hee tersasar.
Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat 90 minit perlawanan. Ini memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.
Masa tambahan menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol kemenangan. Pan-gon dan Tae-ha masing-masing membuat beberapa pertukaran pemain untuk mendapatkan gol yang dicari-cari.
Percaturan jurulatih Pohang itu akhirnya membuahkan hasil apabila pemain gantian, Kim In-sung menyumbat gol kemenangan pada minit ke-113.
Ini disusuli gol ketiga pada minit akhir masa tambahan bagi menjadikan kemenangan 3-1 buat Pohang. Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Pohang Steelers menamatkan kempen domestik mereka dengan gelaran juara Korean FA Cup buat kali keenam dalam sejarah mereka.
Kekalahan buat Ulsan pula memastikan juara K-League 1 itu terus kempunan meraih trofi tersebut sejak kali terakhir melakukannya pada 2017.
Selepas ini, Pohang bakal berdepan pendahulu J1 League, Vissel Kobe pada 3 Disember. Manakala Ulsan pula mahu menjadikan Shanghai Shenhua sebagai peluang menebus kekecewaan pada 4 Disember.