Portugal menerima tamparan hebat sebelum kejohanan Euro 2024 selepas ditewaskan Croatia dalam satu aksi persahabatan antarabangsa di Centro Desportivo Nacional do Jamor, Portugal awal pagi tadi.
Croatia yang turun sebagai pasukan pelawat menurunkan barisan terkuat dengan kehadiran Luka Modric di bahagian tengah manakala Portugal tidak menurunkan Cristiano Ronaldo di kesebelasan utama.
Belum sempat Portugal mengatur serangan, Croatia terlebih dahulu menekan benteng Portugal dan hasil tekanan yang tinggi, Croatia dihadiahkan sepakan penalti selepas Mateo Kovacic dijatuhkan Vitinha di dalam kotak penalti.
Luka Modric yang ditugaskan mengambil sepakan itu berjaya menyempurnakannya untuk memberi pendahuluan 1-0 buat pasukan Croatia.
Ketinggalan satu jaringan, Portugal menggandakan asakan untuk mendapatkan jaringan penyamaan dengan beberapa percubaan merbahaya dilepaskan.
Walaupun kedua-dua pasukan saling menyerang, tiada tambahan jaringan sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 1-0 memihak pelawat.
Bersambung babak kedua, Portugal melakukan empat pertukaran dengan membawa masuk Diogo Jota, Nelson Semedo, Joao Cancelo dan Rafael Leao.
Percatuaran Roberto Martinez itu nyata membuahkan hasil apabila pada minit ke-48, Diogo Jota meledak jaringan penyamaan selepas pemain Liverpool itu menyambar hantaran daripada Nelson Semedo. Kedudukan kini terikat 1-1.
Kedudukan itu hanya bertahan 8 minit sahaja sebelum Croatia kembali di hadapan melalui penyudah Ante Budimir yang membuat penyudah susulan selepas percubaan awal Mario Pasalic terkena palang gol.
Selepas jaringan tersebut terhasil, perlawanan lebih dikuasai oleh Portugal dengan beberapa peluang keemasan turut dijelmakan.
Tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan sekali gus menamatkan perlawanan dengan kemenangan 2-1 buat Croatia.
Portugal akan menjalani satu lagi aksi persahabatan sebelum ke Euro 2024 dengan menentang Ireland pada 12 Jun ini berbeza dengan Croatia yang akan terus ke kejohanan tersebut untuk aksi pertama menentang Sepanyol pada 16 Jun.