Penjaga gol Penang FC, Sikh Izhan Nazrel mendedahkan bahawa karier profesionalnya tidak akan sampai ke tahap sekarang jika tidak kerana memilih posisi penjaga gol di saat akhir.
Penjaga gol Harimau Malaya itu berkongsi bahawa pada awalnya, beliau bukanlah seorang penjaga gol tetapi posisi utamanya adalah penyerang utama.
Namun dek kerana saingan yang hebat di posisi tersebut, beliau mengambil keputusan untuk berpindah ke posisi pertahanan tengah sebelum ke posisi penjaga gol yang dikatakan sebagai pilihan terakhir.
“Posisi utama saya bukanlah di penjaga gol. Saya bermula di posisi penyerang. Selepas itu, pertahanan tengah dan terakhir sekali adalah penjaga gol.
“(Pada ketika itu), penyerang ada ramai pemain. Saya kata pada jurulatih, saya kena jadi pertahanan tengah. Pertahanan tengah pun tak boleh juga sebab ramai pemain dan tiada tempat.
“Jadi saya buat keputusan untuk penjaga gol. Ini posisi terakhir. Kalau tiada (rezeki di posisi itu), saya berhenti,” luah Sikh Izhan ketika ditemubual MFL.
Untuk rekod, Sikh Izhan telah meraih kaps pertama antarabangsa bersama Harimau Malaya pada 20 Jun 2023 dalam aksi persahabatan menentang Papua New Guinea yang mana menyaksikan Malaysia menang 10-0.
Selepas itu, nama Sikh Izhan tetap dipanggil Kim Pan-gon ke skuad kebangsaan bersama nama-nama besar yang lain seperti Syihan Hazmi, Azri Ghani dan Kalamullah Al-Hafiz.