Selangor FC mencuri tumpuan penyokong dengan memuat naik poster perlawanan menentang PDRM FC mirip filem tempatan yang hangat diperkatakan, Blood Brothers: Bara Naga.
Poster berkenaan disiarkan di platform media sosial rasmi Merah Kuning. Satu poster memaparkan barisan pemain Selangor diketuai penyerang Chile, Ronnie Fernandez.
Satu lagi poster mengetengahkan Fernandez, kapten Safuwan Baharudin dan Nikola Jembor. Kesemua pemain yang dipilih kelihatan segak memakai sut hitam sama seperti watak-watak filem tersebut.
Sebaik imej tersebut disiarkan di platform media sosial, poster tersebut menjadi bualan penyokong Selangor.
Ini kerana wajah Fernandez mirip dengan salah seorang teraju utama Blood Brothers: Bara Naga, Sharnaaz Ahmad.
Hal ini dikatakan seorang penyokong bernama Sopelestik Tiibi di ruang komen Instagram Selangor. “Ronnie (Fernandez) jadi Ghaz (watak Sharnaaz),” katanya.
Seorang lagi penyokong bernama Ridzuan Musa turut bersetuju dengannya. Dia turut memuji kreativiti pasukan media Selangor dalam mempromosikan perlawanan pasukan itu.
“Pasukan media SFC tidak pernah mengecewakan,” katanya di ruang komen Facebook.
Ini bukan kali pertama Selangor mempromosikan perlawanan mereka menggunakan poster filem tempatan mahupun luar negara.
Sebelum ini, pasukan media Merah Kuning turut menjadikan Polis Evo 3, Fast X dan Mission Impossible – Dead Reckoning sebagai inspirasi poster perlawanan mereka yang seterusnya.
Selangor bakal menutup kempen Liga Super dengan menentang PDRM pada 19 April ini.