Perlawanan ketiga pra-musim Terengganu di Thailand berakhir dengan kekalahan. Ini selepas skuad Penyu tewas kepada kelab Superliga Denmark, Odense BK.
Sebaik sepak mula, OB mendominasi lawan yang beraksi di Liga Super itu. Di sebalik perbezaan taraf lawan, anak-anak buah Tomislav Steinbruckner berusaha keras menyaingi pemain-pemain kelab Denmark itu.
Begitupun, kesilapan barisan pertahanan dan penjaga gol Rahadiazli Rahalim membenarkan Odense mendahului pada minit ke-30. Kegagalan mereka mengeluarkan bola dari kotak penalti segera direbut oleh penyerang Amerika Syarikat, Emmanuel Sabbi sebelum merembat ke arah gol melepasi Rahadiazli.
Tersentak, skuad Peteh cuba bangkit tetapi OB terus mendominasi permainan. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Babak kedua menyaksikan ulangan skrip sama dengan Odense berusaha menambah gol. Tetapi usaha mereka berjaya disekat barisan pertahanan Terengganu diketuai oleh Rahadiazli.
OB berpeluang menambah gol kedua menerusi Bashkim Kadrii pada minit ke-77. Bagaimanapun, sebelum dia sempat menyepak bola, penyerang Denmark itu terjatuh dengan bola segera dikeluarkan barisan pertahanan Terengganu.
Kesungguhan Odense menambah gol akhirnya berhasil apabila Agon Mucolli menyumbat gol kedua pada minit ke-88. Hantaran OB yang disekat Sardor Kulmatov hanya sampai ke kaki pemain sayap itu sebelum melepaskan sepakan lencong menewaskan Rahadiazli. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Walaupun tewas 2-0 kepada Odense, ia dianggap satu pengalaman berharga buat anak-anak buah Steinbruckner menjelang saingan Liga Super yang akan bermula pada 24 Februari ini.