Presiden FIFA Bakal Serikan Final Piala AFF Di Thailand

Gianni Infantino Thai League Central Presiden FIFA Bakal Serikan Final Piala AFF Di Thailand
Foto: Thai League Central
Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram MakanBola.

Aksi kedua final Piala AFF 2022 Thailand-Vietnam malam ini bukan saja meriah dengan sokongan penyokong Thailand. Tetapi ia turut diserikan dengan kehadiran Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Infantino hadir ke perlawanan malam ini atas jemputan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF). Ini didedahkan oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Tran Quoc Tuan semalam.

Pertembungan Thailand-Vietnam di pentas final Piala AFF 2022 dianggap final impian oleh ramai pihak. Ini kerana ketika ini, kedua-dua pasukan merupakan pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara.

Bagi Vietnam pula, kejayaan menjulang piala tersebut pada malam ini dilihat hadiah perpisahan terbaik buat jurulatih mereka, Park Hang-seo. Hang-seo bakal meninggalkan skuad Pahlawan Bintang Emas selepas menolak memperbaharui kontrak dengan VFF.

Bagaimanapun, disebabkan ia diadakan di luar kalendar FIFA, ramai pemain ternama tidak dilepaskan oleh kelab mereka untuk menyertai kejohanan tersebut. Ini termasuklah Chanathip Songkrasin (Thailand) dan Nguyen Cong Phuong (Vietnam).

Infantino yang juga bekas Setiausaha Agung UEFA mendedahkan rasa tidak sabarnya menonton aksi final kedua malam ini di Instagram.

“Tidak sabar rasanya untuk berada di Bangkok pada Isnin ini untuk perlawanan akhir @affmitsubishielectriccup antara Thailand dan Vietnam, dan bertemu ramai rakan di Persekutuan Bola Sepak ASEAN dan AFC.”

“Di  FIFA, kami berazam untuk menjadikan bola sepak benar-benar bersifat global dan Asia Tenggara, yang saya sukai dan tempat yang pernah saya kunjungi, merupakan bahagian penting dalam peta bola sepak global masa depan! Masih banyak lagi yang akan muncul – nantikan…”

Ada yang percaya jemputan ini sebahagian daripada usaha AFF melobi FIFA untuk merestui usaha mereka mendapatkan hak tuan rumah Piala Dunia 2034 atau 2038. Malah, pada Jun 2022, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen turut menggesa negara-negara ASEAN untuk menyokong usaha ini.