Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengakui kecewa dengan prestasi pertahanan pasukan itu dalam aksi Liga Super menentang Selangor FC.
Kuching City tiba di Stadium MBPJ pada 13 September dengan misi meraih tiga mata penuh. Aksi menyakinkan bila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Piala FA 2024 dilihat memberi keyakinan kepada pasukan yang berpangkalan di Kuching, Sarawak itu.
Walau bagaimanapun, kelebihan gelanggang sendiri pantas dimanfaatkan Merah Kuning sebaik perlawanan dimulakan. Ronnie Fernandez meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-11.
Tiga lagi gol Selangor dijaringkan pada separuh masa kedua. Penyerang utama Jordan, Ali Olwan membuka akaun golnya pada minit ke-67.
Ini disusuli gol sulung bek tengah Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov pada minit ke-75. Alvin Fortes menyumbat gol kesembilannya dalam semua kejohanan untuk Selangor pada minit ke-80.
Aidil mengakui kecewa melihat prestasi anak buahnya terutama di bahagian pertahanan. Pada masa sama, beliau melihat itu sebagai norma bola sepak dan berharap barisan pemain The Cats untuk bangkit.
“Tahniah kepada Selangor. Kita tidak bermain dengan baik hari ini. Pertahanan kita tidak kental sebagai satu pasukan tapi ini bola sepak. Kita kena terima dan perbaikinya, kena kembali kepada asas lagi,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.
Aidil turut melihat tanggungjawab melindungi gawang pasukan itu jatuh kepada semua pemain. Atas sebab itu, sebarang kesilapan yang dikesan dalam aksi berkenaan akan dianalisis bagi membolehkan Kuching City tampil lebih baik.
“Kita bukan bercakap tentang pertahanan saja, kita bercakap tentang satu pasukan. Kita kena bekerjasama, itu perkara paling penting.
“Pertahanan bukan saja membabitkan empat pemain pertahanan tetapi juga penjaga gol yang bermula dari atas. Jadi, sudah tentu kita akan analisis sekali lagi kesilapan yang kita lakukan dan cuba untuk tambah baik lagi,” tambahnya.
Selepas ini, Kuching City akan berehat kerana tidak memiliki sebarang perlawanan dalam aksi minggu ke-11. Mereka akan kembali turun beraksi menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada 27 September ini.