Kelab Liga 1 Indonesia, PSM Makassar memohon jasa baik liga untuk meminda tiga tarikh perlawanan kerana bertembung dengan Piala AFC.
Tiga perlawanan yang diharap mendapat kelulusan pengendali liga, PT Liga Indonesia Baru (LIB) ialah Borneo FC (24 September), PSIS Semarang (29 September) dan Dewa United (12 November).
Tiga perlawanan ini didapati terlalu hampir dengan tiga aksi Kumpulan H Piala AFC membabitkan Juku Eja. Tiga perlawanan tersebut ialah Hai Phong (21 September), Sabah (5 Oktober) dan Hougang United (9 November).
Permohonan ini terpaksa dibuat bukan saja kerana mengambil kira faktor perjalanan pasukan yang jauh. Malah, ini memberi ruang kepada anak-anak buah Bernardo Tavares untuk berehat sebelum kembali fokus kepada saingan Liga 1 Indonesia.
“Permohonan perubahan jadwal pertandingan di Liga 1, sekaitan dengan agenda PSM Makassar di AFC Cup. Kami minta perubahan (perlawanan Borneo FC) ke tanggal 25 September dengan Borneo FC sebagai tuan rumah.
“Kami minta perubahan (perlawanan PSIS Semarang) ke tanggal 30 September. Kami minta perubahan (perlawanan Dewa United) ke tanggal 13 November,” kata pegawai media Juku Eja, Sulaiman Abdul Karim kepada Detik SulSel.
Justeru, satu surat permohonan telah dihantar ke LIB untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, setakat artikel ini ditulis, belum ada maklum balas daripada liga berkenaan hal ini.