Advertisement
Puma Tamatkan Tajaan Terhadap Bola Sepak Israel
Eropah
MakanBola
Puma

Pembuat pakaian sukan gergasi Jerman, Puma akhirnya menamatkan kontrak tajaan dengan Persatuan Bola Sepak Israel (IFA).

Perkara ini didedahkan pergerakan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka. Pengumuman ini menyaksikan kontrak Puma dengan IFA akan berakhir pada 31 Disember 2024.

“Puma telah menjadi subjek kempen boikot yang efektif sejak 2018 di mana 215 pasukan sukan Palestin menggesa syarikat Jerman itu untuk menamatkan penajaan terhadap IFA.

“IFA bukan saja termasuk pasukan-pasukan petempatan haram Israel di atas tanah-tanah Palestin yang dicuri dalam liga rasminya, badan itu bergiat aktif untuk mengekalkan mereka bersama kerajaan Israel,” kata BDS dalam satu kenyataan.

Situasi Puma tidak dibantu dengan konflik Palestin-Israel yang kembali tercetus terutama di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023. Konflik tersebut mengakibatkan tekanan boikot ke atas jenama sukan terkenal semakin kuat.

Tekanan itu mengakibatkan selebriti seperti NCT 127 dan Rihanna digesa menamatkan kolaborasi dengan Puma oleh peminat mereka. Sementara pasukan-pasukan sukan Ireland menggesa ahli dan penyokong mereka untuk memboikot Puma.

Ini membawa kepada berita Puma tidak memperbaharui kontrak tajaan mereka dengan IFA setahun lebih awal pada Disember 2023. Ini jelas menunjukkan impak besar kempen Boikot Puma.

“Kami berterima kasih dengan semua kumpulan di serata dunia yang bekerja keras dan tanpa henti untuk memaksa Puma menamatkan persubahatan dengan rejim aparteid Israel dan kekejaman yang dilakukannya di Gaza,” tambahnya.

Susulan itu, BDS menggesa pembuat pakaian sukan Itali, Errea untuk mempertimbang semula kerjasama mereka dengan IFA. Errea memeterai kontrak penajaan dengan IFA pada Ogos 2024.

BDS melihat dengan memeterai kerjasama dengan IFA, Errea berpotensi bersubahat dengan perlakuan jenayah Israel terutama jenayah perang dan kemanusiaan. Seandainya Errea gagal berbuat demikian, BDS memberi jaminan akan melancarkan kempen boikot ke atas jenama sukan Itali itu.