Usaha Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) merealisasikan pusat latihan bola sepak baru dengan bantuan dana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semakin menjadi kenyataan.
Ini selepas FIFA memuat naik beberapa gambar terbaru Pusat Latihan PSSI di ibu negara baru Indonesia, Nusantara Capital City (IKN) dalam satu kenyataan semalam.
PSSI amat berterima kasih kepada FIFA kerana menerusi dana tersebut, impian memiliki sebuah pusat latihan baru dapat direalisasikan.
Bantuan FIFA muncul dalam bentuk dana FIFA Forward Development Program berjumlah AS$5.4 juta (RM25 juta). FIFA Forward merupakan program yang dibentuk pada 2016 dengan tujuan membantu pembangunan infrastruktur bola sepak membabitkan 211 negara anggota badan induk itu.
Pembiayaan ini membawa kepada pembinaan dua padang bersaiz antarabangsa (padang rumput asli dan padang rumput tiruan) dengan sistem lampu limpah, asrama pemain dua tingkat yang boleh memuatkan 150 orang dan bilik persalinan pasukan.
Dengan tapak seluas 34.52 hektar, ini menjadikan pusat latihan ini yang pertama seumpamanya di Indonesia.
Usaha PSSI ini turut disokong dana tambahan daripada kerajaan Indonesia berjumlah AS$10 juta (RM46 juta). Menerusi dana ini, dua lagi asrama tambahan dan padang untuk pelbagai jenis sukan dibina di pusat latihan itu.
Antara kemudahan yang sudah siap di pusat latihan berkenaan ialah lapan padang rumput, kolam renang dan stadium mini dengan kapasiti 600 orang penonton.
“Inisiatif FIFA Forward penting dalam mewujudkan pembiayaan tambahan untuk kemudahan ini. Kami amat menghargai sokongan dan perkongsian berterusan anda dalam usaha ini.
“Sumbangan anda amat penting dalam menjayakan projek ini dan kami tidak sabar dapat meraikan kejayaan ini bersama anda,” kata Presiden PSSI, Erick Thohir menerusi satu surat yang diutuskan kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Fasa 1 Pusat Latihan PSSI kini sudah 90% siap dan dijangka selesai pada bulan hadapan. Pusat latihan ini akan dirasmikan pada Ogos ini, sembilan bulan selepas projek tersebut mendapat kelulusan Jawatankuasa Pembangunan FIFA pada November lalu.
Pusat latihan ini dijangka digunakan oleh skuad Indonesia Bawah 20 Tahun (B-20) sebagai kem utama mereka menjelang kelayakan Piala Asia B-20 2025 pada Oktober ini.