Pusingan Play-Off ACL: Bali United Dibelasah Kelab Hong Kong

Lee Man Play Off Liga Juara Juara AFC Bali United Pusingan Play-Off ACL: Bali United Dibelasah Kelab Hong Kong
Bali United FC
Azim Noor @mohdazim45
10:32pm 16/08/2023

Kelab Liga 1 Indonesia, Bali United terlepas peluang layak ke pusingan play-off Liga Juara-Juara AFC (ACL) selepas dibelasah kelab Hong Kong, Lee Man 5-1 dalam aksi pertama play-off Stadium Hong Kong hari ini.

Kedua-dua kelab sedar hanya kemenangan yang membantu mereka selangkah lebih hampir ke peringkat kumpulan ACL. Justeru, tidak hairanlah kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal.

Lee Man yang beraksi sebagai tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi Mitchell Paulissen pada minit kelapan selepas menerima hantaran penyerang Brazil, Gil.

Bagaimanapun, kelebihan Lee Man tidak bertahan lama apabila Tsui Wang Kit menjaringkan gol sendiri pada minit ke-13. Kesilapan beliau ditebus semula oleh Gil yang kembali meletakkan kelab Hong Kong itu di hadapan.

Lee Man terus melebarkan kelebihan menerusi Everton Camargo pada minit akhir babak pertama. Keputusan 3-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Serdadu Tridatu cuba bangkit memburu gol penyamaan. Malangnya, Paulissen menambah derita mereka dengan gol keempat pada minit ke-56.

Bek tengah Sepanyol, Jose Angel memastikan kemenangan tuan rumah menerusi gol pada minit ke-86. Keputusan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Biarpun tewas, semangat juang yang ditunjukkan Bali United patut dipuji kerana berusaha memburu gol penyamaan sehingga ke akhirnya. Kejayaan Lee Man menyaksikan mereka bakal berdepan juara bertahan, Urawa Red Diamonds pada aksi play-off kedua pada 22 Ogos ini.

Serdadu Tridatu kini boleh memberi fokus kepada saingan Piala AFC dengan kejohanan itu bakal bermula sekitar September ini.