Skuad Qatar Bawah 23 Tahun (B-23) menerima tamparan hebat sebelum bertemu dengan skuad B-23 negara untuk aksi persahabatan seterusnya pada 7 April ini.
Ini selepas pasukan yang dibimbing jurulatih Portugal, Ilidio Vale itu tewas 2-0 kepada skuad China B-23 baru-baru ini.
Perlawanan ini menjadi sebahagian daripada persiapan Qatar mengharungi kempen Piala Asia B-23 2024 yang berlangsung pada 15 April ini.
Sebelum itu, pasukan yang diberi jolokan Annabi itu turut mengharungi dua perlawanan persahabatan dengan lawan skuad negara dalam Kumpulan D, Uzbekistan.
Selepas terikat 1-1 dalam aksi persahabatan pertama, anak buah Vale tewas 2-1 kepada lawan sama seminggu yang lalu.
Tanpa sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan, ini bukan persiapan ideal buat tuan rumah bila berhadapan dengan Harimau Muda pada 7 April ini.
Ini kerana skuad negara meraih satu kemenangan dan satu seri bila berdepan dengan India dalam dua aksi persahabatan pada penghujung Mac lalu.
Skuad Malaysia B-23 yang dibimbing Juan Torres Garrido turut memberi tentangan sengit kepada China sebelum tunduk 2-1 baru-baru ini.
Annabi juga tempang tanpa khidmat empat pemain untuk kempen Piala Asia B-23 iaitu Ahmed Al-Saeed, Ahmed Riyad, Osama Al-Tiri dan Ali Al-Marri.
Selain Qatar, skuad negara dilaporkan bakal berdepan dua lagi pasukan bagi memantapkan lagi pasukan sebelum kejohanan bermula.