Semasa Everton mengumumkan perlantikan Rafa Benitez sebagai pengurus baru pada musim panas lepas, ia kurang disenangi oleh penyokong Toffees. Senang cerita, ia seolah-olah petanda tempohnya sebagai pengurus tidak bertahan lama. Dan itulah yang berlaku hari ini selepas kelab memilih memecat Benitez selepas 200 hari perlantikannya.
Dengan rekod kemenangan sebanyak 26%, ini meletakkan bekas pengurus Liverpool itu mempunyai rekod kemenangan terburuk dalam kalangan bekas pengurus Everton. Sebelum itu, ia dipegang oleh Howard Kendall semasa menguruskan kelab buat kali ketiga.
Keputusan ini dibuat selepas Toffees tewas di tangan Norwich di Carrow Road semalam. Canaries yang gagal menjaringkan gol dalam enam perlawanan berjaya mendapat dua segol menerusi gol sendiri Michael Keane dan Adam Idah. Persembahan sumbang Everton pada babak pertama mengundang kemarahan penyokong mereka.
Walaupun Toffees berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan cantik Richarlison pada babak kedua, ia masih tidak mencukupi untuk menghalang kekalahan kesembilan kelab dalam EPL. Situasi ini memaksa lembaga pengarah kelab mengadakan mesyuarat kecemasan selepas perlawanan bagi menentukan nasib bekas pengurus Newcastle United itu.
Pada pagi Ahad (malam waktu Malaysia), pemecatannya telah disahkan. Keputusan drastik ini terpaksa dibuat walaupun selepas kelab menyokong pembelian Nathan Patterson dan Vitaliy Mykolenko. Kegagalan Rafa memaksa pemilik Farhad Moshiri terpaksa menilai siapa pengurus seterusnya untuk membawa Everton keluar dari kemelut ini.
Antara nama yang dicanang bagi mengisi tempat ditinggalkan Benitez ialah Diego Martinez, Roberto Martinez, Jose Mourinho dan Niko Kovac. Walaupun nama Wayne Rooney dicadang sebagai pilihan utama, Rooney masih komited membantu Derby County keluar dari zon penyingkiran Liga Kejohanan. Legenda kelab Duncan Ferguson turut disebut-sebut sebagai pengganti.