Ramadan Ondash: Terima Kasih Malaysia
UltraSukan
ONE Championship

Jaguh Muay Thai Lubnan, Ramadan Ondash mengucapkan terima kasih kepada peminat dan penaja dari Malaysia susulan kejayaan menewaskan jaguh negara, Johan Ghazali.

Ramadan berbuat demikian selepas pertarungan ONE: The Inner Circle 24 yang diadakan di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand pada Jumaat.

Selepas meraih kemenangan, Ramadan menzahirkan kesyukuran kepada Allah s.w.t atas kejayaan yang dilakar dalam gelanggang.

Jaguh berusia 19 tahun itu turut menghargai sokongan peminat dan penaja dari Malaysia. Ramadan melihat sokongan mereka amat bermakna sehingga membawa kepada kemenangan terbesar dalam kariernya setakat ini.

“Semua peminat saya dari Malaysia. Terima kasih Malaysia kerana menyokong saya dan ini penaja saya. Terima kasih (kepada semua pihak) kerana menyokong saya.

“Saya sangat gembira, saya akan lakukan yang terbaik. Alhamdulillah,” katanya kepada ONE Championship.

Meskipun bergelar pemenang, Ramadan tetap menghormati Johan. Ini kerana jaguh muda Malaysia itu memberi tentangan sengit sepanjang perlawanan.

“Saya tahu. Saya tahu ia cukup sengit tapi saya menang (pada akhirnya). Johan Ghazali, saya sangat menghormati beliau (dan) beliau saudara saya,” ujarnya.

Kemenangan ke atas Johan merupakan kemenangan keenam Ramadan dalam tujuh perlawanan ONE Championship. Satu-satunya kekalahan beliau ialah kekalahan di tangan juara dunia dan jaguh negara, Aliff Rakib pada Disember 2025.