Ramalan awal oleh Pengendali Terengganu FC II, Hairuddin Omar terhadap penjaga gol negara, Syihan Hazmi dua tahun lalu kini menjadi kenyataan.
Lagenda bola sepak negara itu mula teruja kali pertama menyaksikan skuad Harimau Malaya beraksi di King’s Cup dan melihat potensi yang dimiliki oleh penjaga gawang JDT itu.
Beliau yang baru sahaja membawa pasukannya muncul selaku juara Piala MFL itu memberitahu bahawa anak jati kelahiran Kelantan itu memiliki kualiti sebagai penjaga gawang utama negara.
“Tidak dinafikan bahawa semalam (aksi King’s Cup) Syihan beraksi dengan baik. Beliau melakukan beberapa kali penyelamatan termasuklah sepakan penalti.
“Saya rasa Syihan merupakan pengganti terbaik kepada Farizal Marlias. Terima kasih juga kepada Farizal atas segala jasa beliau kepada Harimau Malaya,” jelas Hairuddin Omar kepada Astro Arena.
Individu yang mesra disapa Hai-O itu juga yakin pemain berusia 28 tahun itu sudah membuktikan kualiti sebenarnya untuk menjadi pilihan nombor satu Kim Pan-gon.
Hal ini terbukti apabila Syihan Hazmi diberi peranan selaku penjaga gawang nombor satu negara sejak tahun 2023 termasuklah ketika kempen Piala Asia di Qatar.
Khidmat beliau bagaimanapun tidak dapat digunakan pada baki dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei akibat kecederaan.