Ketua Jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mendedahkan corak permainan yang diterapkan kepada anak buahnya sehingga menyaksikan Penang menjadi salah satu pasukan yang paling kurang dibolosi setakat ini dalam saingan Liga Super.
Jurulatih berusia 42 tahun itu memberitahu MakanBola bahawa semua pemain yang diturunkan harus membantu dalam bertahan tidak kira di mana posisi mereka.
“Kita nampak kekuatan kita lebih kepada pertahanan tapi bukan hanya barisan pertahanan, apa yang saya lakukan untuk pasukan ini, kita bertahan sebagai satu unit.
“Maknanya 10 pemain akan bertahan bersama-sama. Itulah yang dilakukan. Kualiti di dalam pasukan, mereka boleh melakukan high pressing. Kita bertahan di barisan atas dan itu memudahkan bahagian pertahanan kita apabila kita berjaya memenangi bola di bahagian tengah.
“Jadi bukan hanya back four kita, tapi keseluruhan pasukan, mereka bertahan dengan baik,” jelas Akmal Rizal kepada MakanBola.
Penang kini menjadi salah satu pasukan yang paling kurang dibolosi dengan hanya melepaskan dua gol sahaja setakat ini bagi saingan liga.
Selain Penang, mengumpul rekod bolos paling sedikit setakat ini adalah Terengganu FC yang turut hanya melepaskan dua gol.
Untuk aksi seterusnya, Penang dijadualkan bertemu sebuah lagi pasukan hebat iaitu Selangor FC yang akan dilangsungkan pada 27 Julai di Stadium MBPJ.