Rancangan Bola@Mamak Astro Ditamatkan, Beri Seribu Satu Kenangan Bermakna
Dunia
Bola@Mamak Astro Arena
Advertisements

Setiap yang bermula pasti ada penghujungnya. Satu berita menyedihkan buat penggemar rancangan Bola@Mamak apabila program yang banyak menggamit memori indah buat tatapan rakyat Malaysia untuk melihat perbincangan hangat mengenai perihal bola sepak ini telah melabuhkan tirainya pada semalam, 24 Januari 2022.

Bersiaran sejak 2014, Hafizal Hamad merupakan individu penting yang menjadi nadi pergerakan rancangan ini yang hampir menjangkau 1 dekat. Malah, kehadiran tetamu-tetamu jemputan pula menjadi penambah rasa dan menyemai seri dalam mewarnai perbincangan tentang bola sepak secara umumnya. 

Sinonim dengan ‘menu-menu’ menarik seperti cabaran teh tarik, gosip Liga M, santai malam, fokus, komuniti dan dapur panas, rancangan ini cukup memberi seribu satu makna kepada keberhasilan program realiti bola sepak masa kini.

Advertisements

Bola@Mamak hakikatnya berjaya menyatupadukan kita semua. Semangat dan toleransi telah membantu untuk kita bersatu demi bola sepak tercinta tanpa mengira bangsa dan agama. Matlamatnya hanya satu, iaitu atas dasar cinta dan sayang akan bola sepak negara dan mahu melihatnya gah memacu kejayaan di pentas tertinggi.

Pernah bersiaran di kedai mamak dan di dalam studio, rancangan ini juga pernah menjemput individu ternama, pemain-pemain yang mashyur dan pemerhati bola sepak tempatan bagi memeriahkan perbincangan. Bola@Mamak merupakan wadah dan platform terbaik bagi mengulas isi tentang bola sepak. 

Antara episod-episod eksklusif yang masih segar dalam ingatan adalah ketika Bola@Mamak bersiaran bersama Tunku Ismail Idris, Datuk Vincent Tan, Datuk Hamidin Amin, Adik Zaf Junior dan Coach Irfan Bakti. Tidak ketinggalan, tetamu-tetamu undangan yang sentiasa setia bersama rancangan ini iaitu Datuk Richard Scully dan Asmawi Bakiri.

Advertisements

Sementara itu Hafizal Hamad ketika dihubungi MakanBola menzahirkan rasa sedih dan berat hati untuk menutup tirai rancangan ini. Tatkala bertapak hampir sepuluh tahun di Astro Arena, Bola@Mamak sudah berjaya menambat hati ramai peminat.

“Hampir sepuluh tahun bertahan, bola mamak adalah bola mamak. Saya sejujurnya tidak tahu bagaimana mahu menghadapi senario ini. Saya amat sedih dan sangat sedih. Bola mamak ini saya sayang sangat.”

“Walau bagaimanapun, macam yang selalu saya kata, Allah sentiasa akan mengatur yang terbaik buat kita. InsyaAllah, satu program baru bakal dilancarkan bagi menggantikan Bola@Mamak,” ujar Hafizal.

Advertisements

Pada episod terakhir semalam, Hafizal Hamad sempat menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penonton Bola@Mamak, krew produksi dan semua yang terlibat dalam perjalanan rancangan ini.

“Saya rasa ini satu momen yang pada saya adalah momen yang cukup sukar sebenarnya. Selama 10 tahun saya bersama di Bola@Mamak kami umpama sebuah keluarga. Saya minta maaf kalau sepanjang saya mengendalikan rancangan ini, saya ada terlebih terkurang.”

“Tetapi semua ini lahir daripada jiwa dan hati kami sendiri, kepada krew-krew penerbitan, andalah kekuatan saya untuk mengendalikan rancangan yang sangat-sangat dekat di hati saya. Terima kasih kepada semua,” kata Hafizal.

Advertisements

Terima kasih Hafizal Hamad, terima kasih Bola@Mamak.

Bola@Mamak akan sentiasa terpahat di hati kerana diskusi perihal bola sepak tidak akan pernah mati. Ungkapan yang pasti akan terus dirindui – “Ini rumah kita. Ini liga kita. Tanah tumpah darah kita.”

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram