Juara Piala Asia 2023, Qatar terpaksa menelan kepahitan apabila ranking mereka merosot ke tangga ke-43 dunia.
Perkara ini berlaku selepas pasukan yang diberi jolokan Al-Annabi itu tewas 3-1 kepada musuh tradisi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026.
Kedua-dua pasukan berharap dapat meraih mata pertama dalam Kumpulan A. Pemain tengah muda, Ibrahim Al-Hassan meletakkan Qatar di hadapan pada separuh masa pertama.
UAE yang dibimbing bekas pengendali Korea Selatan, Paulo Bento bangkit pada separuh masa kedua. Harib Abdalla, Khaled Ibrahim dan Ali Saleh memastikan tiga mata menjadi milik Al-Abyad.
Kemenangan ini bukan saja menyaksikan Al-Annabi membuka kempen Kumpulan A dengan langkah kiri. Malah berdasarkan semakan Footy Rankings, pasukan itu jatuh ke kedudukan ke-43 selepas sebelum ini berada di kedudukan ke-34.
Manakala UAE pula ceria kerana berjaya memperbaiki kedudukan ranking mereka ke tempat ke-64. Sebelum ini, mereka menduduki ranking ke-69 dunia.
Perubahan ranking terbaru FIFA ini dijangka membakar semangat Qatar menjelang aksi kedua Kumpulan A menentang Korea Utara pada 10 September ini.
Sementara UAE pula mahu meneruskan momentum dengan menentang satu lagi pasukan gergasi Asia, Iran pada awal pagi 11 September.