Ranking Harimau Malaya terus mencatatkan perkembangan memasuki tahun 2025.
Pelantikan pengendali baharu kebangsaan, Peter Cklamovski bakal membuka lembaran baharu dan melonjakkan lagi prestasi semasa Harimau Malaya.
Rangkuman kedudukan ranking skuad kebangsaan yang dikeluarkan oleh FA Malaysia menunjukkan skuad negara berada pada landasan terbaik untuk menjadi kuasa besar di rantau Asia Tenggara.
“Pada April 2024, Malaysia menghuni tangga ke-138 dunia dengan merekodkan 1,095 mata dan berjaya mendaki 6 tangga menjelang penghujung tahun hasil beberapa keputusan positif yang dicatat.
“Harimau Malaya melonjak ke tangga 133 dunia pada Oktober 2024 sebelum naik satu lagi anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-132 dunia dengan mengumpul 1,116 mata,” ujar kenyataan FAM.
Peningkatan ini juga selari dengan sasaran yang termaktub dalam Pelan Hala Tuju F:30 Fasa 2 (2023-2026) untuk meletakkan skuad kebangsaan pada kedudukan lebih baik.
“Peningkatan itu selari dengan sasaran pasukan kebangsaan dalam Peta Hala Tuju F:30 Fasa 2 (2023-2026) iaitu untuk terus mendaki kedudukan ranking FIFA dan muncul negara teratas di rantau ASEAN,” tambah kenyataan tersebut.
Malaysia juga bakal mengharungi satu lagi cabaran baharu iaitu aksi Kelayakan Piala Asia 2027 dengan aksi pembukaan menentang Nepal pada 25 Mac 2025.