Ranking kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai jatuh teruk sementara Selangor mencatatkan peningkatan yang mendadak.
Skuad kendalian Nidzam Jamil mempamerkan aksi cemerlang apabila menundukkan Jeonbuk dengan keputusan 2-1 di Stadium MBPJ.
Dua jaringan daripada Harith Haiqal dan juga Ali Olwan cukup untuk mengekaljan rekod kebal Gergasi Merah dalam saingan kancah Asia musim 2024/25 selepas tiga perlawanan.
Berdasarkan kemas kini oleh laman Opta Analyst, Jeonbuk Hyundai yang menghuni tangga ke-26 sebelum ini jatuh 9 tangga kepada kedudukan ke-35 Asia dengan 74.8 mata.
Selangor pula mencatatkan kemajuan memberangsangkan apabila melonjak 7 tangga dan kini menghuni kedudukan ke-92 dunia dengan 69.9 mata sekaligus menghampiri pasukan seperti Macarthur (83), Sagan Tosu (89) dan juga Pakhtakor (90).
Selangor kini mendahului carta Kumpulan H dengan 7 mata dan bakal bertemu Jeonbuk Hyundai pada 7 November di tempat lawan.
Kelab terbaik Malaysia ketika ini kekal menjadi milik JDT yang berada di tangga kelima Asia dan juga merupakan pasukan terbaik di Asia Tenggara.
Selangor bakal melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi aksi ke-15 Liga Super pada 27 Oktober di tempat sendiri.