Jordan menjadikan kehadiran mereka di Piala Asia 2023 Qatar ini sebagai sesuatu yang akan diingati apabila mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menewaskan Tajikistan 1-0 pada aksi suku akhir semalam.
Kemaraan Jordan ke separuh akhir kejohanan berprestij di Asia ini diserikan lagi dengan satu lagi kepuasan iaitu kedudukan ranking FIFA mereka dijangka akan naik menggunung berbanding sebelum kejohanan bermula.
Sebelum kempen Piala Asia 2023 bermula, Jordan menghuni ranking ke-87 dunia dan dengan beberapa kemenangan mereka di Piala Asia, Jordan dijangka akan naik sembilan anak tangga ke kedudukan 78 dunia dengan mengumpul 1312.25 mata.
Tajikistan yang tewas dalam perlawanan tersebut masih mengekalkan kedudukan ke-99 dunia dengan mengumpul 1220.65 mata.
Perkara itu telah disahkan oleh laman pemerhati ranking bola sepak dunia, FootyRankings di laman sosial X sejurus tamat perlawanan Jordan-Tajikistan.
Untuk peringkat separuh akhir, Jordan akan bertemu dengan gergasi Asia iaitu Korea Selatan. Jordan dan Korea Selatan sebelum ini diletakkan dalam kumpulan yang sama di peringkat kumpulan Piala Asia iaitu kumpulan E bersama-sama Malaysia dan Bahrain.
Pada aksi kumpulan, aksi Jordan dan Korea Selatan berakhir denga keputusan seri 2-2 dengan gol sendiri Yazan Al-Arab di akhir perlawanan menafikan tiga mata berharga buat Jordan.