Lee Zii Jia terus menunjukkan kemajuan dari segi kedudukan ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Bekas juara All England 2021 itu berjaya meraih pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 apabila menewaskan Lakshya Sen dari India. Kemenangan itu dikecapi dengan keputusan 13-21, 21-16, 21-11.
Pencapaian ini membolehkan Zii Jia meraih 11,500 mata ranking BWF. Dan berdasarkan semakan terkini ranking BWF, itu sudah cukup buat juara Australian Open 2024 itu memintas wakil China, Li Shifeng untuk bergelar pemain nombor enam dunia.
Sementara itu, pemenang pingat emas Olimpik 2024, Viktor Axelsen kekal sebagai pemain nombor dua dunia di belakang wakil China, Shi Yuqi. Manakala pemenang pingat perak, Kunlavut Vitidsarn pula berada di tangga keempat.
Pencapaian pingat perak membolehkan beliau mendaki empat tangga untuk berada di kedudukan berkenaan. Kunlavut memintas wakil Indonesia, Jonatan Christie.
Sementara Kodai Naraoka, Anthony Sinisuka Ginting dan Chou Tien Chen melengkapkan senarai 10 pemain terbaik untuk kategori perseorangan lelaki.
Selepas temasya Olimpik 2024, tumpuan akan terarah kepada dua kejohanan yang berlangsung pada Ogos iaitu Japan Open 2024 dan Korea Open 2024.