Kemas kini ranking kelab menyaksikan naib juara Piala FA 2024, Selangor FC naik 90 tangga dan kini memintas kelab Thailand, BG Pathum United.
Skuad kendalian Nidzam Jamil merakamkan kemenangan ke-8 di Liga Super apabila menundukkan Terengganu dengan keputusan 1-0 di Gong Badak.
Prestasi memberangsangkan itu menyaksikan Gergasi Merah hanya tewas sekali dalam 5 aksi terakhir sekaligus membantu peningkatan ranking di Asia.
Selangor mencatatkan kemajuan mendadak apabila kini menghuni tangga ke-110 di Asia, naik 89 anak tangga berbanding 199 pada kedudukan sebelum ini berdasarkan ranking Opta Analyst.
Wakil Malaysia di AFC Champions League Two (ACL2) itu berjaya memintas kedudukan kelab besar Thailand, BG Pathum (116) dan juga Muangthong United (126) di Asia.
Selangor bagaimanapun masih dipisahkan dengan jurang yang besar dengan kelab nombor satu Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berada di tangga ketujuh Asia dengan 78.7 mata ketika ini.
Selangor kini menanti kunjungan DH Cebu bagi aksi kedua ACL2 pada 3 Oktober 2024 di Stadium MBPJ selepas terikat 1-1 berdepan Muangthong United tempoh hari.