Ranking pasukan kebangsaan Vietnam jatuh kira-kira 21 anak tangga selepas ketiadaan Ketua Jurulatih, Park Hang-seo.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu berkhidmat sejak September 2017 hingga Januari 2023 berjaya memberikan kesan besar kepada kedudukan skuad Bintang Emas.
Hang-seo membantu Vietnam untuk melonjak hampir 35 anak tangga daripada kedudukan ke-130 untuk memasuki kelompok 100 terbaik dunia kurang daripada dua tahun beliau membimbing pasukan.
Kedudukan terbaik Vietnam adalah pada sekitar Mei tahun 2021 apabila pasukan menduduki tangga ke-92 dunia di bawah kendalian jurulatih berusia 66 tahun itu.
Nasib pasukan gergasi Asia Tenggara itu mulai berubah apabila Hang-seo mengundurkan diri pada awal tahun 2023 sekaligus mula mengalami penurunan drastik sejak dibimbing oleh Philippe Troussier.
Ranking Vietnam jatuh daripada tangga ke-94 pada akhir Disember 2023 kepada 103 dunia awal Februari 2024 sebelum terus merudum pada Julai lalu.
Pengganti Troussier, Kim Sang-sik gagal merubah situasi tersebut apabila turut menjunam ke tangga 116 dunia berdasarkan kemas kini ranking FIFA bulan September 2024.
Vietnam juga tidak berjaya layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan hanya Indonesia menjadi wakil tunggal Asia Tenggara.