Tekanan terus dialami jurulatih Persija Jakarta, Thomas Doll apabila pasukan itu tewas kepada RANS Nusantara dalam aksi terbaru Liga 1 Indonesia.
Walaupun berstatus naib juara liga musim lepas, Macan Kemayoran kini berada di tangga ke-11 dengan 20 mata, sembilan mata ketinggalan di belakang RANS.
Dan kelebihan itu terus dilebarkan lagi anak-anak buah Eduardo Almeida pada babak pertama. Pasukan pelawat mendahului pada minit ke-11 menerusi sepakan penalti Evandro Brandao.
Tersentak, Persija cuba bangkit tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada separuh masa kedua, Macan Kemayoran terus ketinggalan apabila bek tengah Portugal, Angelo Meneses menggandakan kelebihan The Phoenix pada minit ke-56.
Muhammad Ferrari memberi sedikit sinar harapan kepada Persija menerusi gol pada minit ke-58.
Begitupun, tuan rumah terus berdepan kesukaran apabila Rizky Ridho dibuang padang pada minit ke-75 selepas mengutip kad kuning kedua.
Kelebihan itu dimanfaatkan RANS dengan memastikan kemenangan 2-1 mereka tidak boleh dicabar oleh tuan rumah.
Keputusan ini menyaksikan The Phoenix merapatkan jurang dengan Madura United di tangga kedua kepada satu mata. Manakala Persija pula kekal di tangga ke-11 liga.
Selepas ini, RANS bakal menentang juara liga musim lepas, PSM Makassar pada 30 Oktober. Manakala Persija pula berdepan PSIS Semarang pada 29 Oktober ini.