Raphael Varane Terpaksa Bersara Awal
MakanBola
Manchester United

Bekas bintang Manchester United, Raphael Varane terpaksa mempertimbang keputusan untuk bersara pada usia 31 tahun.

Selepas meninggalkan United pada akhir musim 2023/24 sebagai ejen bebas, beliau menyertai pendatang baru Serie A, Como pada Ogos lalu.

Walau bagaimanapun, Varane hanya sempat membuat satu penampilan buat Como dalam aksi Coppa Italia dengan Sampdoria pada bulan yang sama.

Pemenang Piala Dunia itu terpaksa dikeluarkan jurulatih, Cesc Fabregas selepas 20 minit kerana mengalami kecederaan. Hasil pemeriksaan mendapati Varane mengalami kecederaan lutut yang serius.

Keadaan ini menyebabkan bekas bek tengah Real Madrid itu perlu berehat untuk tempoh yang lama. Situasi ini juga menyebabkan Fabregas terpaksa mengeluarkan nama Varane daripada senarai pemain yang didaftarkan untuk Serie A.

Dan kini, akhbar Le Parisien melaporkan bek tengah Perancis itu menimbang kemungkinan menggantung but. Varane dijangka mengumumkan keputusan tentang masa depannya dalam masa terdekat.

Selepas membuat kemunculan pertama bersama kelab Ligue 1, Lens, pemenang Liga Negara-Negara UEFA (UNL) itu kemudiannya menyertai Los Blancos pada usia 18 tahun.

Varane merekodkan 360 penampilan bersama Real Madrid dari 2011 hingga 2021. Tempoh tersebut menyaksikan beliau menjulang pelbagai trofi termasuk La Liga, Copa del Rey dan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Selepas menyertai United pada 2021, Varane merekodkan 95 penampilan termasuk aksi akhir The Emirates FA Cup musim 2023/24. Final kejohanan itu menyaksikan The Red Devils muncul juara dengan mengatasi musuh setempat, Manchester City.