Bekas pemilik Inter Milan, Erick Thohir kini menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk penggal 2023-2027. Ini selepas beliau diumumkan sebagai pemenang jawatan itu dalam Kongres Luar Biasa (KLB) PSSI yang diadakan hari ini.
Erick yang juga Menteri Badan Usaha Negara berjaya meraih majoriti 64 undi. Sementara pesaing beliau yang terdekat merangkap bekas Presiden PSSI, La Nyalla Mattalitti hanya meraih 22 undi. Manakala dua calon lain, Doni Setiabudi dan Arif Putra Wicaksono tidak mendapat sebarang undi.
Kesemua 86 undi ini terdiri daripada 34 persatuan bola sepak wilayah, 18 kelab Liga 1 Indonesia, 15 kelab Liga 2 Indonesia, 16 kelab Liga 3 Indonesia, persekutuan futsal, persatuan bola sepak wanita dan persatuan jurulatih.
Yang pasti, Erick bakal berdepan tugas berat merealisasikan harapan Presiden Indonesia, Joko Widodo. Ini kerana beliau berharap sesiapa saja yang diberi amanah mengetuai PSSI dapat menjadikan Tim Garuda sebagai pasukan nombor satu rantau ASEAN.
“Kerajaan tidak pergi ke sana (KLB) bersesuaian dengan peraturan FIFA. Kita berharap dengan ketua baru nanti, ia akan membawa kepada perubahan sepenuhnya. Ini harapan dari kita.
“Hingga bola sepak kita kembali hidup, paling tidak ASEAN boleh jadi langkah pertama kita pegang (kuasai) dan Asia langkah yang kedua untuk merealisasikan harapan kerajaan, itu saja,” katanya bila ditemubual media berkenaan KLB hari ini.
Kejohanan pertama yang bakal ditempuh Erick sebagai Ketum PSSI ialah Sukan SEA 2023 di Kemboja pada Mei ini. Selepas kempunan meraih pingat emas acara bola sepak dalam edisi lepas, sudah pasti beliau mahu Tim Garuda lebih berjaya dalam edisi Sukan SEA kali ini.