Selepas pelbagai desas-desus mengenai masa depannya, pemain sayap lincah Kuala Lumpur City FC (KL City), J. Partiban akhirnya diumumkan sebagai pemain baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Perpindahan Partiban ke Kedah itu telah pun diumumkan pihak pengurusan kelab melalui semua media sosial milik KDA FC. Pemain sayap berusia 30 tahun itu hadir ke Kedah sebagai pemain pinjaman sahaja dan bukannya perpindahan tetap.
“Pemain sayap ini yang dipinjamkan oleh Kuala Lumpur City akan bersama KDA FC bagi baki saingan liga musim ini. Kelincahan dan fizikal mantap beliau mampu menyuntik lebih dominasi dari bahagian sayap Sang Kenari. Berjuanglah sejiwa murni!,” umum KDA FC di laman sosial mereka.
Ini bukanlah kali pertama Partiban berhijrah ke kelab yang berpangkalan di utara Malaysia kerana beliau telah memulakan karier bola sepak profesional beliau bersama pasukan Perak suatu ketika dahulu sebelum berhijrah ke beberapa kelab lain.
Khidmat Partiban sangat diperlukan Kedah yang kehilangan beberapa pemain utama seperti Lee Tuck yang menamatkan kontrak atas persetujuan bersama dan Kedah juga kehilangan khidmat Al-Hafiz Harun yang dipinjamkan ke Penang FC.
Kedah bakal bertandang ke Stadium Ipoh pada 3 Ogos ini bagi menghadapi Perak FC dalam pusingan 16 terakhir Piala Malaysia 2023 sebelum melayan kunjungan Sri Pahang FC pada 8 Ogos bagi saingan Liga Super.