Ketua jurulatih Manchester United, Erik Ten Hag mengakui mahukan khidmat Harry Kane selaku penyerang utama pasukan sebelum harus memilih Rasmus Hojlund.
Erik Ten Hag telah berkongsikan kisah tersebut dalam sebuah wawancara bersama bekas pemain Manchester United, Gary Neville di laman Youtube rasmi Sky Sports Premier League.
“Sentiasa ada tekanan dalam setiap perlawanan untuk kita, jadi kita harus memiliki pemain hebat yang ada kelebihan fizikal dan juga mental untuk memenuhi jangkaan ini.”
“Jelas dalam 10 tahun sebelum ini kita tak selalunya dapat pemain yang kita mahukan. Tetapi kamu tetap perlu membina pasukan dan menerima pemain-pemain berbakat berbanding pemain yang sudah terbukti hebat.”
“Saya ada melihat penyerang hebat yang saya mahu dia menyinar di United tetapi kita gagal dapatkan beliau. Jadi kita beralih kepada Rasmus Hojlund yang memiliki bakat besar.” ujar Ten Hag.
“Adakah itu Harry Kane?” Gary Neville kemudian mencelah untuk mendapatkan kepastian.
Erik Ten Hag mengakui tentang Harry Kane namun kemudian menekankan potensi yang dimiliki Rasmus Hojlund pada masa akan datang.
“Ya, Harry Kane boleh jaringkan 30 gol dan saya pasti Hojlund boleh menjadi sepertinya tetapi Hojlund perlukan masa untuk berkembang. Tidak adil untuk menilai Hojlund setaraf dengan Harry Kane.”
“Saya tidak akan pernah membandingkan pemain-pemain saya kerana mereka semua berbeza tetapi Rasmus Hojlund memiliki potensi yang amat besar sebagai penyerang. Kami gembira dengan beliau dan tahu Hojlund perlukan masa untuk sesuaikan diri.”
“Hojlund sudah jaringkan beberapa gol dan sebelum ini dia ada isu fizikal yang normal apabila anda merupakan pemain muda. Sudah tentu ia memberi kesan kepada keputusan perlawanan tetapi kita harus menerimanya.”
“Penyokong tidak memahami perkara ini dan menilai berdasarkan keputusan perlawanan tetapi sebenarnya pasukan Manchester United perlukan masa.” tambah Ten Hag lagi.
Penyerang berusia 21 tahun itu menyertai United dengan nilai perpindahan RM376 juta bersamaan dengan €73.9 juta pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Rasmus Hojlund kini menjaringkan 8 gol serta mencetak 2 bantuan jaringan dalam 26 aksi liga musim ini dan turut menyumbang 5 gol dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah sebelum United tersingkir dari peringkat kumpulan.
Harry Kane, penyerang buruan Ten Hag yang tidak kesampaian pula menghasilkan 36 gol dalam 32 perlawanan Bundesliga buat Bayern Munich tetapi Kane terlepas kejuaraan Bundesliga yang kini menjadi milik Bayern Leverkusen.