Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan berpandangan barisan pemain Harimau Malaya perlu bersedia memahami corak permainan yang akan diterapkan Pau Marti Vicente.
Isu perubahan corak permainan skuad negara timbul susulan tindakan jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon mengundur diri sebagai pengendali Malaysia.
Pengumuman tersebut dibuat dalam satu sidang media khas pada 16 Julai lalu. Pan-gon berbuat demikian atas komitmen peribadi.
Susulan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan Pau Marti sebagai pemangku jurulatih Harimau Malaya. Beliau bakal mendapat sokongan staf kejurulatihan sedia ada termasuk E. Elavarasan sebagai penolong jurulatih.
Bekas jurulatih Barcelona B itu dilaporkan bakal membuat perubahan dari segi corak permainan untuk skuad negara.
Bagi Razman, tidak kira sama ada berlaku perubahan corak permainan atau tidak yang dilakukan Pau Marti, barisan pemain Harimau Malaya perlu bersedia merealisasikan apa yang dimahukannya.
Ini kerana bekas jurulatih Adelaide United itu sudah pasti lebih masak dengan pelan taktikal lawan di atas padang. Pada masa sama, pemain juga perlu menonjolkan semangat juang yang tinggi sekiranya ingin kekal cemerlang di peringkat antarabangsa.
“Mana-mana jurulatih yang mengambil tempat sekalipun, yang paling penting pemain itu sendiri yang dipanggil atau menyertai skuad kebangsaan. Pemain perlu mengikut segala taktikal dan keperluan oleh jurulatih.
“(Ini) kerana jurulatih lebih mengetahui strategi atau taktikal ketika perlawanan. Jadi, bagi saya, mungkin kita dengar sebelum ini Pau Marti akan perkenalkan corak permainan tiki-taka, kita tidak pasti.
“Tetapi yang pasti, pemain-pemain yang dipanggil perlu faham dengan corak permainan jurulatih yang baru ini. Dan perlu mempersembahkan dengan semangat juang yang tinggilah,” katanya kepada Nadi Arena.
Tugasan pertama Pau Marti ialah Pestabola Merdeka 2024 yang akan berlangsung pada awal September ini.