Alvaro Morata mungkin telah meninggalkan Real Madrid hampir 7 tahun lalu tetapi kelab tersebut kekal meraih wang lumayan hasil daripada pemain itu sehingga hari ini.
Real Madrid dilaporkan telah meraih keuntungan hampir RM380 juta menerusi penjualan serta klausa kontrak Alvaro Morata setelah pemain itu kerap berpindah pasukan.
Berdasarkan rekod, Morata meninggalkan Real Madrid pada tahun 2014 untuk menyertai Juventus dengan harga perpindahan RM101 juta (€20 juta) tetapi pada tahun 2016 pemain itu kembali dibeli oleh Real Madrid dengan harga RM152 juta (€30 juta).
Selepas semusim di Real Madrid, Morata berpindah ke Chelsea dengan harga RM335 juta (€66 juta). Prestasi tidak menentu penyerang Sepanyol ini menyaksikan beliau kemudian menyertai Atletico Madrid, Juventus dan terbaharu AC Milan.
Perpindahan Morata ke AC Milan bakal menguntungkan Real Madrid apabila FIFA akan membayar sebanyak RM1.98 juta (€390 ribu) atas peraturan solidariti FIFA yang membayar sesebuah kelab bola sepak yang membangunkan bakat muda menurut Tribuna.
Memandangkan Morata muncul melalui barisan remaja Real Madrid dan menghabiskan lima tahun perkembangan pentingnya (umur 16-23) di Real Madrid, maka kelab Sepanyol itu mendapat paling banyak keuntungan daripada peraturan ini.
Secara keseluruhan, Real Madrid meraih hampir RM380 juta (€75 juta) hasil penjualan serta klausa dan wang solidariti daripada Alvaro Morata.
Alvaro Morata yang kini berusia 32 tahun merupakan sebahagian daripada skuad Sepanyol yang menjulang kejuaraan EURO 2024 di Jerman baru-baru ini.
Morata akan kembali bermain di liga Itali bersama AC Milan setelah sebelum ini beliau pernah menyarung jersi Juventus untuk beberapa musim.