Regu Malaysia Muncul Juara Asia, Tumbangkan Thailand
UltraSukan
Persatuan Sepaktakraw Malaysia

Malaysia berjaya mencipta kejayaan bergelar juara Piala Asia Sepak Takraw bagi acara regu setelah menewaskan gergasi dunia, Thailand pada Khamis.

Pertembungan yang dinantikan ramai ini menjadi tumpuan tatkala regu Malaysia mahu membalas dendam kekalahan kepada Thailand dalam acara beregu lalu dan muncul juara Asia.

Trio berbisa Malaysia diketuai oleh Farhan Adam, Azlan Alias dan Syahir Rosdi kekal jadi taruhan jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun tatkala Haziq Nizam serta Khairul Aman berada di simpanan.

Permainan cukup sengit di awal set pertama dengan kedua-dua negara mengasak dan mengutip mata hingga kedudukan terikat 6-6 sebelum regu Malaysia cemerlang di hadapan 9-6.

Thailand sempat menyerang dengan servis cukup tajam dan hampir menyekat kemenangan namun trio berbisa Malaysia ini kekal tenang dengan provokasi lawan dan menang juga di aksi ini.

Bersambung set kedua, momentum cemerlang diteruskan oleh regu Malaysia tatkala Thailand sudah mula tertekan hingga trio negara jauh mendahului 4-0 dan juga 7-2 di awal permainan.

Tekanan yang dihadapi oleh trio Thailand ditambah dengan sorakan padu penyokong Malaysia membantu Syahir, Farhan dan Azlan bagi menutup aksi dengan kejayaan sebagai juara.

Aksi tamat, Malaysia menewaskan Thailand 15-12, 15-9 dan muncul juara Asia bagi acara regu yang juga kejuaraan kedua di kejohanan ini setelah menang untuk kategori kuadran.