Kelibat penyerang Terengganu FC, Ivan Mamut bakal menjadi tumpuan barisan pertahanan Selangor FC dalam aksi Liga Super malam ini.
Mengikut statistik MFL, Mamut kini sudah menjaringkan 17 gol dalam semua kejohanan Liga Malaysia (Liga M).
Daripada 17 gol itu, penyerang Croatia itu sudah menjaringkan 10 gol dalam Liga Super. Lima gol lagi dalam Piala Malaysia dengan baki dua dalam Piala FA.
Ini satu pencapaian yang membanggakan lebih-lebih lagi dengan mengambil kira Mamut bergelut dalam empat daripada enam perlawanan awal Liga Super.
Dalam tempoh tersebut, beliau bukan saja tidak menjaringkan gol tetapi mengutip dua kad kuning semasa aksi Piala Sumbangsih dan menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC). Ini berdasarkan statistik Transfermarkt.
Selain itu, kelebihan fizikal yang dimiliki Mamut membolehkannya membuli pemain pertahanan lawan tak kira sama ada di Liga M mahupun dalam saingan Piala AFC.
Ini dibuktikan menerusi penilaian Sofascore sebanyak 7.4 semasa Terengganu menentang Central Coast Mariners. Walaupun tidak menjaringkan gol, Mamut berjaya memenangi bola atas padang sebanyak dua kali dan sekali menguasai perebutan bola di udara.
Dengan rekod dan ketinggian badan 1.92 meter, Merah Kuning bakal berdepan kesukaran mengekang bekas penyerang CS U Craiova itu malam ini terutama tanpa kelibat Yazan Al-Arab.