Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain mengakui rekod tanpa bolos yang direkodkan dalam beberapa perlawanan memberi keyakinan kepada pasukan itu.
Empat perlawanan Liga Malaysia (Liga M) yang lepas termasuk aksi Piala FA menyaksikan Kedah tidak dibolosi dalam empat perlawanan.
Sang Kenari merekodkan kemenangan 5-0 ke atas Bukit Tambun FC dalam aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA 2024. Ini disusuli kejayaan menewaskan Penang FC sebanyak tiga kali termasuk dua aksi suku akhir Piala FA 2024.
Nafuzi mengakui rekod ini memberi keyakinan kepada Kedah untuk tampil cemerlang setiap kali beraksi di atas padang.
Dan ini diharap dapat membantu jentera serangan Sang Kenari untuk lebih tajam di hadapan gol. Ini kerana Nafuzi tidak mahu bergantung kepada rekod tanpa bolos semata-mata untuk mendapatkan mata.
“Rekod tanpa bolos itu baguslah dari segi pertahanan dan penjaga gol. Kita harap boleh meneruskanlah (aspek ini) dalam setiap perlawanan. Kerana dengan rekod tanpa bolos, kalau seri pun masih dapat mata.
“Kita kena kekalkan rekod tanpa bolos dan tambah baik dari segi serangan terutama penjaring gol kita. Kerana kita tengok agak kekurangan dan jika kita menang pun dengan jaringan yang tipis,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam untuk Nadi Bola.
Kedah bakal berentap dengan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Stadium Darul Aman pada 12 Julai untuk aksi terbaru Liga Super.